INTERNATIONAL
Tarif Trump: Jangan anggap negara sesama ASEAN sebagai pesaing - Penganalisis
Penganalisis berpandangan strategi menggembleng kekuatan serantau ini mampu menangani cabaran tarif yang dikenakan oleh AS kepada negara-negara Asia Tenggara khususnya. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN tidak wajar bersaing dengan satu sama lain, sebaliknya perlu memanfaatkan kekuatan setiap negara dalam membangunkan ekonomi serantau.
Ringkasan AI
- Kerjasama Serantau ASEAN: Negara-negara ASEAN perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam membangunkan ekonomi serantau, bukan bersaing antara satu sama lain. Perdagangan Intra-ASEAN: Mempertingkat perdagangan antara negara ASEAN boleh memantapkan rantaian bekalan kritikal dan menangani cabaran tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat. Penerokaan Pasaran Baharu: ASEAN perlu meneroka pasaran baharu di negara-negara mesra ASEAN seperti Asia Barat dan Afrika yang mempunyai potensi tinggi untuk produk-produk dari ASEAN.
Penganalisis berpandangan strategi menggembleng kekuatan serantau ini mampu menangani cabaran tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada negara-negara Asia Tenggara khususnya.
Pengarah Eksekutif Pusat Pengajian Ekonomi dan Undang-undang (CELIOS), Bhima Yudhistira berkata, mempertingkat perdagangan intra-ASEAN boleh memantapkan rantaian bekalan kritikal ekonomi Asia Tengara.
“Kita tidak boleh menganggap Vietnam, Kemboja dan Thailand sebagai pesaing. Sebenarnya setiap negara (ASEAN) saling melengkapi. Contohnya, soal kenderaan elektrik (EV), Indonesia mempunyai sumber mentah bateri dan Vietnam pula mempunyai kilang pembuatan.
“Malaysia pula mempunyai pengetahuan mengenai semikonduktor yang belum tentu boleh disaingi oleh negara-negara ASEAN yang lain. Oleh itu, sangat baik, kalau kita boleh selaraskan pengeluaran rantai bekalan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Tarif Trump: Jangan anggap negara sesama ASEAN sebagai pesaing - Penganalisis
Dalam pada itu, Penyelidik Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan (INDEF), Ahmad Heri Firdaus pula mencadangkan pasaran baharu juga perlu diteroka di negara-negara mesra ASEAN.
“Kita perlu pelbagaikan pasaran ke pasaran baharu dengan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN, kerjasama dengan negara-negara Asia Barat dan Afrika yang mempunyai potensi tinggi. Mereka sangat memerlukan produk-produk dari Indonesia dan negara-negara ASEAN,” ujarnya.
Reuters pada Isnin melaporkan, pegawai perdagangan AS memuktamadkan kadar tarif yang tinggi ke atas kebanyakan sel solar dari Asia Tenggara.
Gabungan duti antilambakan dan duti balas ke atas produk Jinko Solar dari Malaysia adalah antara yang terendah, pada kadar 41.56 peratus, manakala produk keluaran Trina Solar dari operasinya di Thailand dikenakan tarif sebanyak 375.19 peratus, menurut laporan itu.
Jabatan Perdagangan AS belum lagi menerbitkan pecahan terperinci kadar tarif akhir.
Agenda AWANI: Perang dagang AS-China: ‘ASEAN Centrality’ sebagai solusi