[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Tarif Trump ke atas cip Malaysia boleh jejas bekalan global, industri AS

Bernama 30/09/2025 | 09:00 MYT
Sebahagian besar eksport semikonduktor Malaysia dihasilkan oleh syarikat AS seperti Intel, Broadcom dan Micron yang beroperasi di Malaysia. - Gambar hiasan/ Reuters
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) perlu membuat pertimbangan teliti sebelum mengenakan tarif menyeluruh ke atas eksport semikonduktor Malaysia yang boleh menjejaskan bekalan global serta industri negara maju itu, kata Majlis Perniagaan AS-ASEAN.


Ringkasan AI
  • Majlis Perniagaan AS-ASEAN menegaskan bahawa tarif menyeluruh ke atas eksport semikonduktor Malaysia boleh menjejaskan bekalan global dan industri automotif AS, memandangkan Malaysia membekalkan sehingga 15 peratus cip kepada pasaran tersebut.
  • Sebahagian besar eksport semikonduktor Malaysia dihasilkan oleh syarikat AS seperti Intel, Broadcom dan Micron yang beroperasi di Malaysia, menjadikan negara ini penting dalam rantaian bekalan global termasuk pengujian, pemasangan dan pembungkusan cip.
  • Naib Presiden Eksekutif Marc Mealy menyeru pentadbiran AS agar membuat pertimbangan teliti sebelum mengenakan tarif tinggi, kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu pasaran dan pengeluaran produk elektronik serta automotif di AS dan seluruh dunia.


Ketika menegaskan perkara itu, Naib Presiden Eksekutifnya Marc Mealy berkata sebarang kadar tarif membebankan boleh menjejaskan Malaysia yang berperanan sebagai pembekal penting cip automotif semikonduktor untuk pasaran global serta pembuat kereta AS.

"Ada data menunjukkan sejumlah besar cip berkenaan yang memasuki pasaran AS, sebenarnya turut melalui Malaysia," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual pada Isnin.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata Malaysia juga mengeksport sehingga 15 peratus cip semikonduktor ke AS yang digunakan oleh sektor automotif AS.

"Ini satu angka besar...sehubungan itu, tindakan mengenakan tarif ke atas eksport semikonduktor dari Malaysia ke AS akan hanya mencetuskan kesan limpahan di serata rantaian bekalan global serta menjejaskan proses pembuatan," katanya.

Berdasarkan laporan media, eksport semikonduktor dan litar bersepadu (IC) Malaysia ke AS pada tahun lepas berjumlah kira-kira RM52.11 bilion.

Sebahagian besar eksport semikonduktor dari Malaysia ini dihasilkan oleh syarikat-syarikat AS yang beroperasi di sini seperti Intel, Broadcom dan Micron.

AS misalnya mengimport cip bernilai kira-kira US$40 bilion (US$1 = RM4.21) pada 2024, terutamanya dari Taiwan, Malaysia, Israel, Korea Selatan, Ireland, Vietnam, Costa Rica, Mexico dan China, demikian menurut laporan oleh American Enterprise Institute yang juga badan pemikir berpangkalan di Washington dalam bidang kerajaan, politik, ekonomi dan kebajikan sosial.

Mealy juga menegaskan, walaupun kerajaan AS memperkenalkan tarif mengikut sektor, langkah mengenakan tarif secara menyeluruh ke atas cip dari Malaysia akan hanya mengundang impak besar.

"Malaysia merupakan penggiat global dalam rantaian bekalan bagi cip. Sebagai contoh, jika langkah membawa masuk cip (ke AS) itu melibatkan keperluan membayar cukai sebanyak 100 peratus atau 200 peratus kepada kerajaan AS, (sudah pasti) ramai pengimport bahan itu tidak akan membelinya.

"Jika pembelian itu dihentikan, ini bermakna produk tertentu bagi kegunaan kenderaan dan elektronik tidak dapat dihasilkan dan menyebabkannya tiada di pasaran," katanya.

Mealy berkata pada masa sama, data-data menunjukkan Malaysia turut menjadi lokasi utama bagi tujuan pengujian, pemasangan dan pembungkusan cip.

Ini termasuk rantaian bekalan global dari Taiwan, Jepun dan China yang melalui Malaysia dan seterusnya diedarkan ke serata dunia.

Oleh itu, bersandarkan realiti sedemikian, Mealy berkata pihak pentadbiran AS perlu membuat penelitian secara mendalam mengenai kewajaran mengenakan tarif ke atas cip, merangka pelan strategik atau lebih berhati-hati dari segi pilihan kaedah pelaksanaannya.

"Keadaan ini juga menunjukkan mereka turut mengakui peranan besar Malaysia dalam industri itu. Anda tidak boleh kenakan tarif 100 peratus ke atas semua cip dari Malaysia kerana ini berkemungkinan menjejaskan pasaran di sini serta di AS sendiri," katanya.

Pada Ogos lepas, Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 300 peratus ke atas import semikonduktor, namun tidak melibatkan syarikat-syarikat yang terbabit dalam pengeluaran cip di negara itu.

-- BERNAMA



#tarif AS #semikonduktor #Donald Trump #bekalan global