Skip to main content

Dunia

Tate bersaudara ditahan di AS, berdepan ekstradisi ke Britain

Tristan and Andrew Tate deliver a press statement in front of their house after landing back in Romania, near Bucharest, Romania, March 22, 2025. Inquam Photos/Eduard Vinatoru via REUTERS
Andrew Tate dan adiknya Tristan ditahan pihak berkuasa persekutuan Amerika Syarikat (AS) di Miami, Florida, pada Sabtu. -Foto fail/Reuters
Advertisement

MIAMI: Personaliti media sosial Andrew Tate dan adiknya, Tristan Tate, ditahan pihak berkuasa persekutuan Amerika Syarikat (AS) di Miami, Florida, pada Sabtu.

Penahanan itu dilakukan oleh Perkhidmatan Marshal AS (USMS) berdasarkan waran tertutup susulan permintaan ekstradisi daripada pihak berkuasa United Kingdom (UK), lapor AP.

Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) Britain berkata tuntutan ekstradisi berkenaan dibuat bagi membolehkan kedua-dua beradik itu berdepan pertuduhan baharu membabitkan rogol dan pemerdagangan manusia.

Menurut dokumen pertuduhan, mereka didakwa terlibat dalam eksploitasi seksual, penyebaran imej lucah kanak-kanak dan serangan terhadap wanita di utara London antara 2010 hingga 2017.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua beradik itu, Joseph McBride, menegaskan anak guamnya tidak bersalah.

Beliau menyifatkan pertuduhan berkenaan sebagai tidak berasas dan mendakwa ia bertujuan menjejaskan tindakan undang-undang yang sedang diambil anak guamnya di AS.

Tate bersaudara, yang memiliki kerakyatan AS dan UK, dilaporkan ditahan di luar Kompleks James L. Knight di pusat bandar Miami.

Penahanan itu berlaku beberapa ketika sebelum Andrew Tate dijadualkan menghadiri satu acara tinju tanpa sarung tangan (bare-knuckle boxing).

Sebelum ini, kedua-dua mereka pernah ditahan di Romania pada Disember 2022 atas pertuduhan pemerdagangan manusia, rogol dan membentuk kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, kes pertama di Romania dikembalikan kepada pihak pendakwaan selepas mahkamah mengenal pasti beberapa isu prosedur.

Pada masa sama, kes kedua yang turut membabitkan dakwaan pemerdagangan manusia masih berjalan dan pertuduhan terhadap kedua-dua beradik itu tidak pernah digugurkan.

Selepas sekatan perjalanan mereka ditarik balik oleh mahkamah Romania, kedua-duanya meninggalkan negara berkenaan dan dilaporkan berpindah ke Florida.

Mereka dijangka dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan Miami pada awal minggu depan bagi menentukan proses ekstradisi ke Britain.

 

Must Watch Video

Advertisement