Skip to main content

Dunia

Taufan Champi: Taiwan keluar amaran, lebih 100 penerbangan batal susulan angin kencang

CWA memaklumkan taufan itu dijangka menghampiri pantai Taiwan pada Jumaat dan membawa hujan lebat serta angin kencang ke kebanyakan kawasan. -Foto CWA
CWA memaklumkan taufan itu dijangka menghampiri pantai Taiwan pada Jumaat dan membawa hujan lebat serta angin kencang ke kebanyakan kawasan. -Foto CWA

Advertisement

TAIPEI: Taiwan mengeluarkan amaran pada Khamis susulan Taufan Champi yang dijangka membawa hujan lebat dan angin kencang ke pulau itu hingga Sabtu.

Setakat jam 11 pagi waktu tempatan, pusat taufan itu berada kira-kira 520 kilometer di tenggara Eluanbi, titik paling selatan Taiwan, lapor Focus Taiwan.

Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA), taufan berkenaan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan antara 15 hingga 20 kilometer sejam.

Data rasmi menunjukkan Taufan Champi membawa angin berterusan sehingga 184 kilometer sejam dengan tiupan angin mencecah 227 kilometer sejam serta radius ribut sekitar 320 kilometer.

CWA memaklumkan taufan itu dijangka menghampiri pantai Taiwan pada Jumaat dan membawa hujan lebat serta angin kencang ke kebanyakan kawasan.

Beliau berkata pergerakan ribut itu mungkin menjadi perlahan apabila menghampiri Taiwan kerana dipengaruhi bentuk muka bumi bergunung-ganang di pulau berkenaan.

Susulan pengaruh sistem ribut itu, kawasan utara Taiwan mula menerima hujan berselang-seli pada Khamis, manakala kawasan timur dijangka mengalami hujan mulai petang.

Amaran hujan lebat turut dijangka dikeluarkan bagi kawasan pergunungan di New Taipei dan Daerah Yilan menjelang malam.

CWA turut mengeluarkan amaran angin kencang bagi beberapa kawasan di Daerah Pingtung serta pulau luar pesisir seperti Penghu, Orchid Island dan Green Island.

Kawasan terbabit berisiko mengalami angin berterusan pada kelajuan kira-kira 75 kilometer sejam dengan tiupan sehingga 103 kilometer sejam.

Mulai malam Khamis hingga Jumaat, taufan itu dijangka membawa angin yang lebih kuat ke kawasan pantai utara Taiwan, Yilan serta kawasan tanah rendah di bahagian barat pulau tersebut.

Taufan Champi diramal mula bergerak menjauhi Taiwan pada Sabtu sebelum menuju ke arah selatan Jepun, namun hujan lebat dijangka berterusan di beberapa kawasan akibat pengaruh monsun timur laut.

Must Watch Video

Advertisement