Lebih sejuta penduduk diarah berpindah daripada laluan Taufan Florence ketika ribut Kategori Empat itu mengumpul kekuatan angin mencecah 220 kilometer sejam menuju ke Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).

Gabenor Carolina Selatan, Henry McMaster berkata sejuta penduduk di pantai timur negeri itu supaya mengosongkan kediaman mereka menjelang ketibaan ribut berkenaan Khamis ini.

Sementara itu, Gabenor Carolina Utara pula mengarahkan pengosongan Outer Banks, destinasi pelancongan popular dan sebahagian pesisir pantai Daerah Dare, manakala darurat diisytiharkan di Virginia.

“Ini adalah taufan yang amat bahaya. Kami tidak mahu meletakkan satu nyawa pun dalam bahaya di Carolina Selatan.

“Kita akan berhadapan banjir besar,” katanya sambil menambah arahan pemindahan bagi wilayah pesisir pantai adalah mandatori.

Taufan Florence berpotensi membawa bencana banjir ke kawasan di timur AS dan mungkin menjadi ribut paling kuat pernah melanda wilayah itu dalam masa beberapa dekad.

Berada pada Kategori Empat daripada skala lima tahap Saffir-Simpson, Florence berada 844 kilometer ke selatan tenggara Bermuda, kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) dan buat masa ini, Florence bergerak ke barat pada kelajuan 20 kilometer sejam. - AFP