DUNIA

Taufan Fung-wong ancam Filipina, selepas 21 taufan tropika landa negara itu

Bernama 09/11/2025 | 10:45 MYT
Filipina masih dalam proses pemulihan daripada kesan Taufan Kalmaegi yang melanda beberapa hari lepas. - Gambar/ Reuters
PHNOM PENH: Filipina kini berdepan satu daripada bencana cuaca terburuk tahun ini apabila Taufan Fung-wong dijangka melanda daratan Ahad malam, selepas negara kepulauan itu dilanda 21 taufan tropika setakat ini.

Filipina sebelum ini mengalami tragedi cuaca paling buruk apabila Taufan Haiyan melanda negara itu pada 8 November 2013, mengorbankan lebih 6,000 nyawa.

Negara Asia Tenggara yang berpenduduk 115 juta itu masih dalam proses pemulihan daripada kesan Taufan Kalmaegi yang melanda beberapa hari lepas.

"Filipina sering terdedah kepada bencana seperti ini kerana dikelilingi perairan panas seperti Lautan Pasifik dan Laut Filipina, yang menyumbang kepada pembentukan sistem tekanan rendah menjadi taufan tropika.

"Fung-wong merupakan bencana besar kerana saiznya yang meliputi kawasan sejauh 1,800 kilometer, kekuatannya yang mencapai tahap taufan kuat serta kesannya yang meluas," kata Pakar Cuaca Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (PAGASA), Benison Estareja kepada Bernama dari Manila, Ahad.

PAGASA telah mengeluarkan amaran mengenai banjir besar dan tanah runtuh akibat bencana alam terbaharu itu, dengan taufan berkenaan dijangka membawa hujan lebat di kawasan dari utara hingga selatan negara itu.

Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan pada Ahad bahawa 224 orang terkorban dalam bencana Taufan Kalmaegi.

Selepas melanda Filipina, Taufan Kalmaegi turut membadai wilayah tengah Vietnam pada Jumaat, mengorbankan lima orang serta memusnahkan bot nelayan dan harta benda.

Vietnam pada Sabtu mengumumkan bahawa kerosakan awal akibat Taufan Kalmaegi melebihi RM1 bilion (US$268 juta), menurut laporan media tempatan.

Ketika pemimpin dunia dan ahli sains iklim berhimpun di Bandar Belem, Brazil bagi menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) dari 10 hingga 21 November, negara-negara Asia Tenggara kini berdepan ancaman cuaca buruk yang dahsyat.

"Kerajaan serantau mesti menekankan dalam COP30 kesan perubahan iklim yang semakin buruk.

Filipina adalah negara paling terdedah kepada bencana bukan sahaja disebabkan kekuatan taufan yang semakin meningkat, tetapi juga tahap kerentanan kami terhadap bahaya ini. Oleh itu, kami memerlukan pelan pengurusan bencana yang berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri terhadap perubahan iklim," katanya.

Negara agraria termasuk Indonesia, Filipina dan Vietnam turut berdepan hujan lebat tahun ini yang menjejaskan sawah padi dan infrastruktur.

-- BERNAMA



#Taufan Fung-wong #Filipina #bencana alam #Taufan Kalmaegi