DUNIA

Taufan Kalmaegi: Lebih 50 penerbangan terjejas di Vietnam, Laos keluarkan amaran

Bernama 06/11/2025 | 10:13 MYT
Selepas melanda Filipina hingga mengakibatkan banyak kemusnahan, Taufan Kalmaegi kini mula membadai wilayah tengah dan selatan Vietnam. - AP
HANOI: Lapan lapangan terbang dan lebih 50 penerbangan di Vietnam terjejas apabila Taufan Kalmaegi bergerak ke arah wilayah tengah dan selatan negara itu, lapor Xinhua pada Khamis, memetik akhbar tempatan Cong An Nhan Dan.

Lapangan terbang yang dijangka terjejas secara langsung termasuk Da Nang, Phu Bai, Lien Khuong, Chu Lai, Phu Cat, Tuy Hoa, Pleiku dan Buon Ma Thuot, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam.

Pihak berkuasa mengarahkan pemantauan 24 jam dan pematuhan ketat terhadap prosedur tindak balas taufan.

Perbadanan Lapangan Terbang Vietnam turut diarahkan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memeriksa infrastruktur dan sistem komunikasi lapangan terbang serta segera mengesan dan membaiki sebarang kerosakan.

Syarikat penerbangan kebangsaan Vietnam Airlines mengumumkan lebih 50 penerbangan yang dijadualkan pada Khamis dan Jumaat terjejas berikutan pelarasan jadual penerbangan yang dibuat bagi memastikan keselamatan operasi, lapor Agensi Berita Vietnam.

Sementara itu, biro cuaca Laos mengeluarkan amaran di seluruh negara berikutan ramalan bahawa Taufan Kalmaegi akan membawa hujan sederhana hingga lebat di kawasan tengah dan selatan Laos dari Jumaat hingga Ahad.

Taufan itu, yang bergerak ke arah barat laut pada kelajuan 39 kilometer sejam, dijangka menyeberangi Vietnam sebelum memasuki Laos.

Ia dijangka membawa ribut petir ringan hingga sederhana secara umum, serta hujan lebat hingga sangat lebat dengan angin kencang di beberapa wilayah tengah dan selatan, menurut laporan Jabatan Meteorologi dan Hidrologi di bawah Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar pada Khamis.

Pihak berkuasa menggesa penduduk agar berwaspada terhadap kemungkinan banjir kilat, tanah runtuh dan peningkatan paras sungai, khususnya di wilayah berisiko tinggi seperti Attapeu, Sekong, Champasak, Salavan, Khammuan, Savannakhet, Bolikhamxay, Xayabouly serta ibu negara, Vientiane.

-- BERNAMA

#Taufan Kalmaegi #lapangan terbang #Vietnam #penerbangan terjejas #pengurusan bencana