DUNIA

Taufan Kalmaegi: MERCY Malaysia hantar pasukan ke Filipina, Vietnam

Bernama 08/11/2025 | 10:29 MYT
Keadaan di Filipina kritikal berikutan banjir besar serta kerosakan struktur akibat taufan berkenaan dan Taufan Fung-Wong dijangka melanda negara itu esok sekali gus meningkatkan lagi keperluan bantuan kemanusiaan. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: MERCY Malaysia akan menghantar pasukan tindak balas kecemasan ke Filipina dan Vietnam susulan taufan Kalmaegi yang mengakibatkan banjir, kerosakan infrastruktur teruk dan kehilangan nyawa di seluruh wilayah terjejas.

Menurut MERCY Malaysia, pasukan itu terdiri daripada empat kakitangannya dan dua sukarelawan khusus yang dijadualkan beroperasi di Filipina dari 9 hingga 21 Nov ini sebelum ke Vietnam.

"Misi itu akan menumpukan pada bantuan perubatan kecemasan, bekalan air bersih, bantuan tempat tinggal serta perkhidmatan kesihatan mental dan psikososial (MHPSS) termasuk penubuhan Ruang Mesra Kanak-Kanak (CFS) dan penyediaan Bantuan Kecemasan Psikologi (PFA)," kata wakil badan bukan kerajaan (NGO) itu ketika dihubungi Bernama.

Dalam kenyataan sebelum ini, MERCY Malaysia memaklumkan keadaan di Filipina kritikal berikutan banjir besar serta kerosakan struktur akibat taufan berkenaan dan Taufan Fung-Wong dijangka melanda negara itu esok sekali gus meningkatkan lagi keperluan bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, MERCY Malaysia akan melaksanakan misi pertamanya di Vietnam dengan kerjasama rapat pihak tempatan untuk menyampaikan rawatan perubatan segera, air bersih, tempat perlindungan dan sokongan psikososial.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus dalam kenyataan sama berkata ketika krisis, perpaduan serantau dan tindakan pantas adalah penting untuk menyelamatkan nyawa dan membantu pemulihan.

"Komuniti yang terjejas oleh taufan Kalmaegi menunjukkan daya tahan luar biasa dalam menghadapi cabaran besar. MERCY Malaysia bersolidariti teguh bersama rakyat Filipina, Vietnam dan rantau ASEAN.

"Dengan koordinasi rapat bersama Rangkaian Bantuan dan Tindak Balas Bencana Asia (ADDRN) dan rakan kerjasama tempatan, kami akan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang pantas, berkesan dan yang diperlukan," katanya.

Menurut kenyataan itu, MERCY Malaysia telah mengaktifkan pasukan penilaian untuk menilai keperluan di lapangan dan menyelaras bantuan dengan pihak berkuasa tempatan serta rakan kerjasama.

Organisasi itu turut menyeru sektor awam dan swasta untuk menyokong usaha bantuan yang berterusan itu dengan menyalurkan sumbangan.

"Sumbangan itu akan membiayai secara langsung bantuan perubatan, tempat perlindungan kecemasan, bantuan air dan sanitasi serta bantuan psikososial untuk keluarga yang terjejas akibat bencana," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



#Taufan Kalmaegi #mercy malaysia #angka korban #Filipina