CHENNAI: Pihak berkuasa di selatan India menutup sekolah dan pejabat, menghentikan penerbangan dan memindahkan penduduk di kawasan pantai pada Isnin sebagai persediaan menghadapi ribut siklon yang dijangka membadai beberapa kawasan.

Menurut pejabat cuaca negara itu, taufan Siklon Michaung membawa angin berkelajuan 90 hingga 100 kilometer sejam dijangka mendarat di pantai negeri Andhra Pradesh di selatan India pada pagi Selasa.

Ketika ini, pihak berkuasa di Andhra Pradesh dan Tamil Nadu berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan keberangkalian berlaku kerosakan dan memindahkan ribuan penduduk yang tinggal di kawasan pantai.

Pada masa sama, amaran turut dikeluarkan kepada golongan nelayan untuk tidak keluar ke laut.

Sementara itu, media memaparkan imej puluhan kereta terapung ketika air mengalir melalui jalan-jalan di Chennai, sebuah bandar berpenduduk hampir 7 juta orang.

Difahamkan, beberapa kawasan di bandar itu ditenggelami air setinggi paras lutut dan berlaku gangguan bekalan elektrik sejak pagi Isnin sekali gus operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai turut dihentikan.

Selain itu, sekolah, kolej, pejabat dan institusi kewangan ditutup pada Isnin dan Selasa di sekurang-kurangnya empat daerah di Tamil Nadu.

Pada Isnin, sekurang-kurangnya empat orang maut dalam insiden berkaitan hujan di Tamil Nadu, termasuk dua terbunuh apabila tembok bangunan runtuh.

Di Andhra Pradesh, pihak berkuasa telah memindahkan hampir 7,000 orang di lapan daerah pantai dan sedang bersiap untuk memindahkan sejumlah 28,000, bergantung pada laluan dan keganasan taufan itu.