Taufan Otis: Mexico isytihar 47 bandar di Guerrero zon bencana

Bernama
November 3, 2023 03:30 MYT
Keadaan di bandar Acapulco susulan Taufan Otis yang melanda Mexico, 28 Okt 2023. - Gambar fail AP
BANDARAYA MEXICO: Kerajaan Mexico pada Khamis mengisytiharkan 47 majlis perbandaran di Guerrero sebagai zon bencana alam, melayakkan mereka mendapat dana persekutuan bagi membiayai usaha pemulihan selepas dibadai Taufan Otis.
Deklarasi Bencana Alam dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan dan Perlindungan Rakyat untuk menangani kerosakan akibat "hujan lebat, angin kencang, dan hujan serta banjir pada 24 dan 25 Okt lepas", lapor Xinhua.
Otis dikategori sebagai taufan tahap lima melanda negara itu pada 25 Okt, menyebabkan kemusnahan dahsyat di destinasi pelancongan popular seperti Acapulco, berhampiran Coyuca de Benitez dan bahagian lain.
Presiden Andres Manuel Lopez Obrador pada Rabu melancarkan 20 kaedah untuk memulihkan Acapulco dan kawasan lain yang terjejas teruk.
Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado berkata angka kematian akibat taufan itu kini mencecah 46 manakala 58 masih hilang setakat Rabu.
-- BERNAMA
#taufan Otis #Mexico #zon bencana #banjir