DUNIA

Taufan Ragasa hampiri Filipina dan Taiwan, ribuan penduduk diarah berpindah

Astro Awani 21/09/2025 | 08:10 MYT
Ribuan penduduk di Filipina dan Taiwan diarahkan berpindah susulan amaran Super Taufan Ragasa yang membawa angin melebihi 230 km/j dan risiko banjir besar serta tanah runtuh. -Gambar fail/X - Monsoon Dynamics
MANILA/TAIPEI: Ribuan penduduk di Filipina dan Taiwan diarah berpindah susulan amaran cuaca ekstrem apabila Super Taufan Ragasa menghampiri wilayah utara kedua-dua negara dengan kelajuan angin melebihi 230 kilometer sejam.


Ringkasan AI
  • Ribuan penduduk di Filipina dan Taiwan diarahkan berpindah susulan amaran Super Taufan Ragasa yang membawa angin melebihi 230 km/j dan risiko banjir besar serta tanah runtuh.
  • Filipina menjangka taufan melanda gugusan pulau Batanes dan Babuyan, manakala Taiwan telah memindahkan penduduk dari kawasan pantai timur menjelang kesan ketara pada pagi Isnin.
  • Hong Kong turut bersiap siaga, dan pakar meteorologi beri amaran bahawa perubahan iklim menjadikan taufan lebih kuat dan sukar dijangka, meningkatkan risiko kepada jutaan penduduk.


Menurut Agensi Meteorologi Filipina (PAGASA), taufan tersebut dijangka melanda gugusan pulau Batanes dan Babuyan awal minggu hadapan, dengan amaran banjir besar, tanah runtuh dan ombak tinggi dikeluarkan bagi kawasan utara Luzon termasuk Cagayan dan Ilocos.

Setiausaha Dalam Negeri Filipina, Jonvic Remulla, berkata pemindahan awal adalah langkah wajib bagi melindungi nyawa penduduk yang berada di zon berisiko.

“Arahan pemindahan telah dikeluarkan dan pasukan kecemasan digerakkan ke lokasi terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Di Taiwan, pihak berkuasa telah memindahkan lebih 300 penduduk dari kawasan pantai timur termasuk daerah Hualien, dengan amaran taufan darat dijangka dikeluarkan dalam tempoh 24 jam.

Pusat Pentadbiran Cuaca Taiwan menjangkakan kesan paling ketara akan bermula pada pagi Isnin.

Sementara itu, Hong Kong turut bersiap siaga menghadapi kemungkinan cuaca buruk apabila taufan berkenaan dijangka bergerak ke arah selatan China selepas meninggalkan kawasan tanggungjawab Filipina pada 23 September.

Filipina yang terletak di laluan taufan Pasifik berdepan purata 20 ribut tropika setiap tahun.

Pakar meteorologi memberi amaran bahawa perubahan iklim telah menyebabkan taufan menjadi lebih kuat dan sukar dijangka, sekali gus meningkatkan risiko kepada jutaan penduduk di kawasan terdedah.









#banjir #diarah berpindah #Super Taufan Ragasa #Filipina #Hong Kong #Taiwan