DUNIA

Taufan Wipha: Hong Kong keluar amaran tertinggi, gantung penerbangan

Astro Awani 20/07/2025 | 06:00 MYT
Taufan dijangka membawa angin kencang melebihi 118 kilometer sejam serta hujan lebat yang melanda kawasan selatan Hong Kong. -Foto Reuters
VICTORIA: Pihak berkuasa Hong Kong mengeluarkan amaran taufan tertinggi pada Ahad apabila Taufan Wipha menghampiri wilayah itu.


Ringkasan AI
  • Hong Kong keluarkan amaran Taufan No. 10 akibat Taufan Wipha, menyebabkan lebih 500 penerbangan dibatalkan dan semua kelas digantung.
  • Ribut kuat dan hujan lebat menyebabkan gangguan pengangkutan, kerosakan harta benda, dan seorang cedera; lebih 200 penduduk berlindung di pusat perlindungan.
  • Taufan Wipha turut jejas Filipina dan China, manakala pihak berkuasa Hong Kong nasihatkan orang ramai kekal di rumah dan ikuti perkembangan cuaca.


Lebih 500 penerbangan dibatalkan dan semua kelas digantung, menurut Hong Kong Observatory dan pihak berkuasa lapangan terbang.

Amaran Taufan No. 10 dikeluarkan pada jam 9.20 pagi waktu tempatan apabila Wipha berada kira-kira 60 kilometer di tenggara bandar raya itu.

Taufan dijangka membawa angin kencang melebihi 118 kilometer sejam serta hujan lebat yang melanda kawasan selatan Hong Kong.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong mengesahkan hampir 500 penerbangan dibatalkan, manakala lebih 400 lagi sedang disusun semula.

Perkhidmatan pengangkutan awam turut terjejas, termasuk tren dan feri yang digantung sementara waktu.

Lebih 200 penduduk mendapatkan perlindungan di pusat perlindungan kerajaan, sementara pasukan kecemasan menerima puluhan laporan pokok tumbang dan kerosakan harta benda.

Seorang lelaki dilaporkan cedera dan sedang dirawat di hospital awam akibat kecederaan berkaitan ribut.

Taufan Wipha sebelum ini menyebabkan banjir di Filipina dan mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga kematian serta lebih 370,000 penduduk terjejas.

Di China, wilayah Hainan dan Guangdong turut berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi.

Hong Kong kali terakhir mengaktifkan amaran T10 adalah semasa Super Taufan Saola pada tahun 2023.

Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar kekal di dalam rumah dan mengikuti perkembangan cuaca secara berterusan.







#Hong Kong #keluar amaran tertinggi #Taufan Wipha #hujan lebat