DUNIA
Taufan Wutip: China keluar amaran kuning, 3 maut di Vietnam
Sebuah bot nelayan terperangkap dalam badai Taufan Wutip di perairan bandar Yinggehai, Hainan. - AP
BALAI cerap China pada Sabtu mengeluarkan amaran kuning untuk Taufan Wutip, taufan pertama pada tahun ini yang dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat ke bahagian selatan negara itu, lapor Xinhua.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan, taufan itu dikesan pada 19.8 darjah latitud utara dan 108.8 darjah longitud timur pada 5 pagi Sabtu dan sedang bergerak ke arah timur laut dengan kelajuan 20 hingga 25 kilometer sejam.
Taufan itu dijangka melanda kawasan pantai dari Bandar Leizhou di Wilayah Guangdong, selatan China hingga ke Bandar Beihai di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang sekitar tengah hari Sabtu. Selepas mendarat, taufan berkenaan dijangka semakin lemah dari segi kekuatan, menurut pusat itu.
China mempunyai sistem amaran cuaca empat peringkat yang dikodkan mengikut warna bagi taufan, dengan merah mewakili amaran paling teruk, diikuti oren, kuning dan biru.
Sementara itu, di Vietnam, Taufan Wutip telah menyebabkan banjir besar di tengah negara itu lalu menyebabkan tiga orang maut, memetik laporan Agensi Berita Vietnam pada Sabtu.
Dua mangsa maut di daerah Trieu Phong, wilayah Quang Tri semasa menjalankan usaha pencegahan banjir manakala seorang lagi lemas di daerah Hai Lang, menurut laporan itu.
Di wilayah Quang Binh, empat individu dilaporkan masih hilang ketika pasukan mencari dan menyelamat terus memperluas operasi susulan keadaan cuaca yang semakin pulih.
Laporan itu turut menyatakan bahawa lebih 21,000 hektar sawah ditenggelami banjir selain ribuan hektar tanaman sayuran dan kolam akuakultur turut terjejas, manakala puluhan ribu unggas dilaporkan mati.
Banjir besar turut menenggelami kediaman, mengganggu lalu lintas dan memaksa pemindahan penduduk di kawasan rendah dan pergunungan, walaupun paras air sungai kini dilaporkan mula surut.
-- BERNAMA