DUNIA

AS tawar rangka kerja perdagangan baharu kepada EU menjelang tarikh akhir

Bernama 27/06/2025 | 21:15 MYT
Ursula von der Leyen berkata pihaknya kini sedang meneliti dokumen itu. - Foto fail/AP
BRUSSELS: Amerika Syarikat (AS) telah mengemukakan tawaran perdagangan baharu kepada Kesatuan Eropah (EU) bagi menyelesaikan pertikaian perdagangan yang berterusan, menurut Suruhanjaya Eropah seperti dilaporkan agensi berita Jerman (dpa).
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata pada Khamis malam selepas Sidang Kemuncak EU di Brussels bahawa pihaknya kini sedang meneliti dokumen itu.
"Kami bersedia untuk satu perjanjian. Pada masa sama, kami juga bersedia sekiranya tiada persetujuan yang memuaskan dicapai," kata von der Leyen. Beliau dan Presiden Majlis Eropah Antonio Costa tidak mengulas secara terbuka mengenai kandungan dokumen itu.
Bagaimanapun, menurut maklumat daripada peserta sidang kemuncak itu , tidak mungkin tarif 10 peratus ke atas hampir semua import yang diperkenalkan oleh Presiden AS Donald Trump dapat dihapuskan sepenuhnya di bawah cadangan rangka kerja baharu AS itu.
Namun begitu, mungkin terdapat perkembangan mengenai tarif tambahan AS yang dikenakan ke atas import kereta, sebagai contoh.
Situasi ini akan menyebabkan EU berdepan persoalan asas sama ada untuk menerima tarif asas baharu bagi mengelakkan pertikaian perdagangan terus memuncak, atau bergantung kepada kuasa pasaran untuk meyakinkan Trump agar menarik balik langkah itu.
-- BERNAMA
#Donald Trump #Kesatuan Eropah #Ursula von der Leyen #sidang kemuncak