DUNIA

Tebing Barat hadapi krisis kemanusiaan terburuk sejak 1967 - UNRWA

Bernama 24/01/2026 | 02:20 MYT
Tebing Barat yang diduduki kini mengalami krisis kemanusiaan paling buruk sejak 1967, berikutan pemindahan paksa secara besar-besaran dan kemusnahan meluas di kem pelarian susulan operasi ketenteraan Israel. - Gambar fail AP
ISTANBUL: Tebing Barat yang diduduki kini mengalami krisis kemanusiaan paling buruk sejak 1967, menurut Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat, berikutan pemindahan paksa secara besar-besaran dan kemusnahan meluas di kem pelarian susulan operasi ketenteraan Israel.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini berkata seramai 33,000 penduduk kekal dipindahkan secara paksa dari kem pelarian di utara, setahun selepas Israel melancarkan operasi "Iron Wall".

"Pasukan tentera Israel telah merobohkan sebahagian besar kawasan di kem berkenaan, sekali gus mengurangkan peluang komuniti ini untuk pulih," katanya dalam satu kenyataan di platform X.

Lazzarini berkata, pasukan UNRWA "sedang membantu pelarian Palestin yang baru dipindahkan yang kini terjerumus ke dalam kancah kemiskinan serta tidak mempunyai alternatif yang berdaya maju untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan kebajikan."

Beliau menegaskan, keupayaan agensi itu untuk meneruskan operasi bergantung kepada "sokongan politik dan kewangan berterusan daripada negara-negara anggota."

Sejak melancarkan serangan genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, Israel telah memperhebatkan jenayahnya untuk mengilhak Tebing Barat, khususnya melalui perobohan, pemindahan paksa penduduk Palestin dan peluasan penempatan haram, menurut pihak berkuasa Palestin.

Tentera Israel dan peneroka haram sejak itu telah membunuh sekurang-kurangnya 1,108 rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk di Baitulmuqaddis Timur selain mencederakan hampir 11,000 orang, manakala 21,000 lagi ditahan.

Secara berasingan, peneroka haram Israel merosakkan sebuah masjid pada Jumaat di utara Tebing Barat, insiden terbaharu dalam siri serangan terhadap rumah ibadat dan harta benda milik rakyat Palestin.

-- BERNAMA


#krisis kemanusiaan #Tebing Barat #UNRWA #kem pelarian