DUNIA

Tekanan semakin memuncak ke atas Netanyahu untuk tamatkan perang Gaza

Agensi 14/07/2025 | 22:30 MYT
Netanyahu kini berdepan tekanan dalaman dan antarabangsa yang semakin memuncak untuk menamatkan perang di Gaza, tatkala jumlah korban di kalangan tentera meningkat dan kemarahan awam terus memuncak. - Gambar fail AP
TEL AVIV : Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini berdepan tekanan dalaman dan antarabangsa yang semakin memuncak untuk menamatkan perang di Gaza, tatkala jumlah korban di kalangan tentera meningkat dan kemarahan awam terus memuncak.

Netanyahu menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan ke arah gencatan senjata yang lebih berkekalan, namun hanya selepas tercapainya perjanjian untuk gencatan senjata sementara dan Hamas meletakkan senjata sepenuhnya.

Ketidakpuasan rakyat semakin dirasai berhubung isu tahanan Israel yang masih disekap sejak 7 Oktober 2023, selain persepsi bahawa konflik yang berlarutan ini gagal menunjukkan kemajuan nyata.

Gabungan politik pimpinan Netanyahu yang rapuh buat masa ini masih bertahan, namun beliau dilihat terlalu bergantung kepada sokongan segelintir menteri sayap kanan yang ekstremis – yang dianggap sebagai faktor utama konflik ini terus berpanjangan, meskipun semakin tidak popular dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Netanyahu turut berdepan kritikan hebat berhubung rancangan kontroversi untuk membina sebuah “bandar kemanusiaan” baharu dari kosong di selatan Gaza, bagi menempatkan ratusan ribu rakyat Palestin sekiranya gencatan senjata dicapai kelak.

Rancangan itu dikritik pelbagai pihak termasuk Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang menyifatkannya sebagai menyerupai sebuah “kem tahanan”. Malah, laporan dari media Israel turut mendedahkan bahawa pihak keselamatan negara sendiri tidak menyokong idea tersebut. - Agensi






#israel serang gaza #Benjamin Netanyahu #tekanan antarabangsa #gencatan senjata