DUNIA
Telefon bimbit Trump mungkin tidak lagi 'made in USA'
Model T1 yang dilancarkan oleh T1 Mobile LLC menggunakan nama Trump dan diperkenalkan dalam warna emas. - Gambar/ Trump Mobile
WASHINGTON: Telefon bimbit jenama Trump tidak lagi dipromosikan sebagai "Dibuat di Amerika Syarikat" seperti ketika idea itu dilancarkan, sebaliknya kini diiklankan sebagai "direka dengan nilai-nilai Amerika," menurut laman web Trumpmobile.com, lapor agensi berita Jerman dpa.
Ringkasan AI
- Telefon bimbit jenama Trump kini dipromosikan sebagai -direka dengan nilai-nilai Amerika- dan bukan lagi -Dibuat di Amerika Syarikat-, dengan pelancarannya ditunda ke hujung tahun ini dan saiz peranti dikurangkan.
- Model T1 yang dilancarkan oleh T1 Mobile LLC menggunakan nama Trump dan diperkenalkan dalam warna emas, namun dakwaan pengeluaran di AS pada harga US$499 diragui oleh pakar kerana kekangan kapasiti dan kos tinggi.
- Hampir semua telefon pintar dunia dihasilkan di Asia, termasuk produk Apple yang kini banyak diimport dari India, manakala usaha menghasilkan telefon sepenuhnya di AS dijangka memakan masa bertahun-tahun dan kos yang jauh lebih tinggi.
"'T1' bukan sekadar telefon pintar biasa - ia adalah langkah berani ke arah kebebasan tanpa wayar. Direka dengan nilai-nilai Amerika, T1 menawarkan prestasi terbaik, reka bentuk anggun dan ciri hebat -semuanya tanpa harga yang melambung," menurut laman web itu.
"Dengan sentuhan tangan rakyat Amerika pada setiap peranti, kami memastikan ketelitian, ketepatan dan kualiti dipercayai pada setiap perincian," tambah kenyataan itu.
Beberapa perubahan turut dilakukan, dengan saiz telefon berwarna emas itu kini lebih kecil pada 15.87 cm (6.25 inci) secara pepenjuru berbanding 17.22 cm (6.78 inci) sebelum ini. Pelancarannya kini dijadualkan pada hujung tahun ini dan bukan lagi pada September.
Sejak pelancarannya pada Jun lalu, keraguan timbul terhadap T1, khususnya mengenai dakwaan bahawa ia boleh dihasilkan di AS pada harga US$499 - harga yang dianggap tidak realistik oleh pakar memandangkan kekurangan kapasiti pembuatan dalam negara.
Trump sebelum ini cuba mendesak Apple untuk menghasilkan produk di AS dengan ugutan tarif dan langkah lain. Penganalisis teknologi Dan Ives baru-baru ini menganggarkan bahawa akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum iPhone boleh dibuat di AS, dengan kos melebihi US$3,000.
Pada masa ini, produk Apple kebanyakannya diimport ke AS dari India berbanding China, manakala hampir semua telefon pintar di dunia dihasilkan di Asia.
T1 dilancarkan oleh sebuah syarikat bernama T1 Mobile LLC, yang memperoleh lesen menggunakan nama Trump. Telefon ini diperkenalkan dalam warna emas yang menjadi tanda gaya Trump, dengan anak-anak beliau, Donald Jr dan Eric Trump mengetuai pengumuman pelancarannya.
-- BERNAMA