DUNIA

Tembakan di gereja Kentucky ragut tiga nyawa termasuk suspek

Astro Awani 13/07/2025 | 23:50 MYT
Anggota penguat kuasa bertindak balas terhadap insiden tembakan berhampiran Gereja Baptist Richmond Road. - Foto AP
KENTUCKY: Insiden tembakan tragik di sebuah gereja di Lexington, Kentucky, telah meragut tiga nyawa termasuk suspek, menurut pihak berkuasa tempatan.

Kejadian berlaku pada pagi Ahad di Gereja Baptist Richmond Road, melibatkan dua wanita yang terbunuh dan dua lelaki yang cedera, salah seorang dalam keadaan kritikal.

Menurut Ketua Polis Lexington, Lawrence Weathers, insiden bermula apabila suspek melepaskan tembakan ke arah seorang anggota polis negeri semasa pemeriksaan trafik berhampiran Lapangan Terbang Blue Grass sekitar jam 11.30 pagi.

Anggota polis tersebut kini dirawat di hospital dan dilaporkan stabil.

Selepas menembak anggota polis, suspek dipercayai mencuri sebuah kenderaan dan melarikan diri ke gereja yang terletak kira-kira 16 kilometer dari lokasi pertama.

Di sana, suspek melepaskan tembakan ke arah jemaah yang sedang berkumpul, menyebabkan dua wanita, masing-masing berusia 72 dan 32 tahun, terbunuh serta dua lelaki cedera.

Pihak polis berjaya menjejaki suspek ke lokasi gereja dan menembaknya mati di tempat kejadian.

Identiti suspek masih belum didedahkan sementara menunggu makluman kepada keluarga.

Ketua Polis Weathers menyatakan bahawa tiada motif jelas dikenal pasti setakat ini, namun terdapat petunjuk bahawa suspek mungkin mengenali beberapa individu di gereja tersebut.

“Ada hari-hari yang sangat sukar seperti hari ini,” katanya dalam sidang media.

“Kadang-kadang perkara berlaku tanpa sebab yang kita fahami.”

Gabenor Kentucky, Andy Beshear, menggesa orang ramai untuk mendoakan mangsa dan mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak berkuasa.

“Keganasan yang tidak masuk akal ini telah menggoncang seluruh komuniti,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Negeri Kentucky dan Jabatan Polis Lexington, termasuk semakan dalaman terhadap penggunaan senjata oleh anggota polis yang terlibat.
Kawasan sekitar gereja kini ditutup sementara bagi tujuan siasatan.





#insiden tembakan #gereja #Gereja Baptist Richmond Road #Lapangan Terbang Blue Grass