APA perasaan anda jika lantai di rumah baharu anda nampak seolah-olah pernah berlakunya kejadian jenayah di situ?

Seorang pengguna TikTok memuat naik video memaparkan garis lukisan besar yang bentuknya seakan-akan badan manusia di bawah permaidani rumahnya, pada 10 Jun lalu.

Dalam video berkenaan, dia menunjukkan lukisan itu yang disertai dengan tarikh, berkemungkinan besar tarikh satu jenayah berlaku di situ.

"Ini sebenarnya agak menyeramkan," katanya yang menggunakan muzik latar dari filem "Amityville Horror" dalam video yang sudah mengumpul lebih 5 juta tontonan itu.

Majoriti pengguna media sosial menganggap ia hanya tindakan jenaka oleh pemilik asal rumah, namun masih ramai yang prihatin.

Seorang wanita bernama Jordyn Everett dengan pantas menunjukkan ada kesan lain yang jauh lebih besar dan lebih menakutkan, dapat dilihat di lantai kayu rumah tersebut.

"Tuangkan cecair peroksida pada kesan itu. Sekiranya ia mengeluarkan buih, ia kesan darah," kata Everett.

Keesokan harinya, dia memuat naik video melakukan apa yang disarankan Everett.

Semburan peroksida di kawasan "dipersoalkan" memperlihatkan buih mula terbentuk di lantai.

Setakat ini, belum ada sebarang perkembangan terbaharu kerana hanya petugas profesional yang boleh menentukan jika benar kesan yang ditemui adalah kesan darah.