DUNIA

Tentera British belanja 118 juta pound tambah sistem pertahanan udara

Bernama 22/08/2025 | 20:30 MYT
Sky Sabre mampu mengawal sehingga 24 peluru berpandu serentak serta memintas objek sebesar bola tenis yang bergerak dua kali ganda kelajuan bunyi. - Gambar hiasan/AP
LONDON: Tentera British memperoleh tambahan sistem peluru berpandu pertahanan udara bernilai 118 juta pound (AS$158 juta) yang mampu memintas peluru berpandu jelajah dan dron, menurut Kementerian Pertahanan.

Pembelian itu melibatkan sistem buatan Britain, Land Ceptor yang akan digunakan tentera di dalam dan di luar negara.

Peralatan baharu ini akan menjadi sebahagian daripada sistem pertahanan moden Sky Sabre, yang menggantikan sistem Rapier yang digunakan sejak 1970-an. Sky Sabre mampu mengawal sehingga 24 peluru berpandu serentak serta memintas objek sebesar bola tenis yang bergerak dua kali ganda kelajuan bunyi.

Sistem pertahanan jarak sederhana (MRAD) itu akan dikeluarkan oleh syarikat MBDA (Matra BAe Dynamics UK) di Bolton, dengan kerajaan menyatakan langkah itu akan menyokong 140 peluang pekerjaan.

Menteri Pertahanan Luke Pollard berkata pelaburan ini menggandakan keupayaan Sky Sabre yang boleh digerakkan, sekali gus mengukuhkan pertahanan udara Britain, melindungi tentera di luar negara dan menghalang musuh.

"Kami menyokong lebih 100 pekerjaan di seluruh UK melalui pelaburan ini, dengan lebih banyak peluang akan diwujudkan," katanya.

Sistem ini beroperasi bersama radar serta pusat arahan dan kawalan, tetapi juga boleh digunakan secara berdikari. Ia baru-baru ini diuji dalam latihan NATO di Outer Hebrides dan telah ditempatkan di Poland sebagai sebahagian operasi NATO yang memberi tumpuan terhadap Rusia.

Pegawai Pemerintah Rejimen Artileri Diraja ke-16, Leftenan Kolonel James Boutle berkata, Sky Sabre menandakan lonjakan besar dalam keupayaan pertahanan udara berasaskan darat UK.

"Sebagai sistem pertahanan udara tercanggih Tentera Darat, ia menjadi perisai ampuh terhadap ancaman moden dari jet pejuang hingga senjata berpandu tepat dan dron," katanya.

"Untuk Artileri Diraja Rejimen Ke-16, mengendalikan Sky Saber adalah satu keistimewaan dan tanggungjawab - memastikan kami dilatih dan bersedia untuk mengukuhkan sumbangan UK kepada NATO apabila diminta.

"Sebagai sebahagian daripada ini, kami bekerjasama dengan rakan kongsi industri, seperti MBDA di sini di UK, untuk terus mengoptimumkan sistem bagi memastikan ia kekal termaju - kerjasama yang menjamin kami berada di hadapan teknologi lawan."

-- BERNAMA






#tentera British #pertahanan udara #peluru berpandu #land ceptor