DUNIA

Tentera Israel diarah tembak penerima bantuan tidak bersenjata di Gaza - Laporan

Astro Awani 28/06/2025 | 01:45 MYT
Sekurang-kurangnya 550 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan lebih 4,000 cedera ketika cuba mendapatkan bantuan sejak akhir Mei. - Foto AP
GAZA: Beberapa anggota tentera Israel mendakwa mereka menerima arahan langsung daripada pegawai atasan untuk menembak rakyat Palestin yang tidak bersenjata ketika sedang menunggu bantuan makanan di Gaza, menurut laporan eksklusif akhbar Haaretz yang mencetuskan kebimbangan global terhadap pelanggaran hak asasi manusia.
Menurut pengakuan beberapa askar dan pegawai tentera kepada Haaretz, mereka diarahkan untuk menembak orang awam yang beratur di pusat agihan bantuan dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF), walaupun mengetahui mereka tidak membawa sebarang ancaman.
Seorang askar menggambarkan lokasi itu sebagai “medan pembunuhan” dan berkata, “tiada gas pemedih mata, tiada kawalan orang ramai - hanya tembakan langsung dengan senjata berat”.
Sekurang-kurangnya 550 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dan lebih 4,000 cedera ketika cuba mendapatkan bantuan sejak akhir Mei.
Tentera dikatakan melepaskan tembakan sebelum dan selepas waktu operasi pusat bantuan, yang hanya dibuka selama satu jam setiap pagi.
Susulan pendedahan ini, unit Peguam Tentera Israel telah mengarahkan siasatan dalaman oleh Mekanisme Penilaian Fakta Staf Umum untuk menyiasat kemungkinan pelanggaran undang-undang peperangan di lokasi bantuan.
Pegawai kanan tentera yang ditemu bual turut mengakui bahawa pendekatan ini “tidak profesional dan tidak berperikemanusiaan,” sambil menegaskan bahawa ramai yang ditembak hanyalah orang awam yang kelaparan dan bukan pejuang bersenjata.
Laporan ini mencetuskan kecaman meluas daripada kumpulan hak asasi manusia, yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai penggunaan kebuluran dan keganasan sebagai senjata perang - satu dakwaan yang telah lama dibangkitkan terhadap operasi Israel di Gaza.
#Israel #Gaza #tembak orang awam #pusat agihan bantuan