[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
DUNIA

Tentera Israel roboh bangunan UNRWA di Baitulmuqaddis Timur

Bernama 20/01/2026 | 16:08 MYT
Menurut saksi, tentera Israel yang disertai sekurang-kurangnya sebuah jentolak, menceroboh masuk ke dalam perkarangan berkenaan di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, lalu merobohkan struktur mudah alih serta kekal di tapak itu. - Foto AP/Mahmoud Illean
BAITULMUQADDIS / ISTANBUL: Menteri Keselamatan Nasional daripada pelampau kanan, Itamar Ben-Gvir mengetuai tentera Israel pada Selasa untuk merobohkan struktur di dalam ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.


Ringkasan AI
  • Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir, memimpin tentera Israel merobohkan struktur di ibu pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis Timur.
  • Tentera Israel menaikkan bendera negara di tempat tersebut, mencetuskan kecaman hebat daripada Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini.
  • Israel sebelum ini telah ambil tindakan serupa menentang UNRWA termasuk memotong bekalan elektrik dan air, langkah yang menimbulkan pertikaian antarabangsa.


Menurut saksi, tentera Israel yang disertai sekurang-kurangnya sebuah jentolak, menceroboh masuk ke dalam perkarangan berkenaan di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, lalu merobohkan struktur mudah alih serta kekal di tapak itu.

Tentera Israel turut menaikkan bendera Israel di perkarangan itu bagi menggantikan bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata saksi.

Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini mengecam tindakan perobohan itu sebagai "serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini" terhadap agensi PBB dan premisnya.

"Satu tahap baharu penentangan secara terang-terangan dan sengaja oleh Israel terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk keistimewaan dan kekebalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," kata Lazzarini dalam satu hantaran di laman X.

"Seperti semua Negara Anggota PBB dan negara-negara yang komited kepada aturan antarabangsa berasaskan peraturan, Israel bertanggungjawab untuk melindungi dan menghormati ketakbolehcabulan premis PBB."

Bulan lepas, Parlimen Israel (Knesset) meluluskan undang-undang untuk memotong bekalan elektrik dan air ke premis UNRWA di Baitulmuqaddis Timur.

Israel sebelum ini telah mengambil langkah serupa terhadap UNRWA. Pada 2024, Knesset meluluskan undang-undang yang mengharamkan aktiviti agensi PBB itu di Israel, atas dakwaan kononnya beberapa kakitangan UNRWA terlibat dalam peristiwa 7 Okt 2023, dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh agensi berkenaan.

PBB menyatakan bahawa UNRWA sentiasa mematuhi piawaian berkecuali yang ketat.

"Tindakan ini, bersama-sama serangan arson sebelum ini dan kempen penyebaran maklumat palsu secara besar-besaran, jelas bercanggah dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Oktober, yang menegaskan bahawa Israel di bawah undang-undang antarabangsa wajib memudah cara operasi UNRWA, bukannya menghalang atau menyekatnya.

"Mahkamah juga menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai bidang kuasa ke atas Baitulmuqaddis Timur," kata Lazzarini.

Beliau mengingatkan bahawa tindakan Israel itu juga boleh berlaku terhadap agensi antarabangsa yang lain.

"Tiada pengecualian boleh diberikan. Ini sepatutnya menjadi peringatan kepada semua," katanya.

"Apa yang berlaku hari ini kepada UNRWA akan berlaku esok kepada mana-mana organisasi antarabangsa atau misi diplomatik lain, sama ada di Wilayah Palestin yang Diduduki atau di mana-mana sahaja di seluruh dunia. Undang-undang antarabangsa telah lama diserang dan berisiko menjadi tidak relevan jika tiada tindak balas daripada Negara Anggota," katanya.

UNRWA ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB lebih 70 tahun lepas untuk membantu rakyat Palestin yang diusir secara paksa dari tanah air mereka.

-- BERNAMA
#tentera Israel #roboh bangunan #UNRWA #Gaza #Itamar Ben-Gvir