Duta Israel ke Amerika Syarikat, Ron Dermer mencadangkan supaya tentera Israel diberikan Hadiah Nobel Keamanan kerana "kesabaran yang tidak boleh dibayangkan" terhadap Gaza, lapor The Times of Israel.

Dalam satu ucapan kepada kelompok Kristian yang mendukung Israel di Washington, Dermer mempertahankan tindakan ketenteraan rejim Zionis yang dilancarkan ke atas Gaza sejak 8 Julai lepas.

Beliau malah menuduh Pertubuhan Bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi manusia telah membantu Hamas secara tidak langsung memerangi Israel.

"Sesetengahnya tanpa segan menuduh Israel melakukan pembantaian dan meletakkan kami di kandang tertuduh jenayah perang," kata Dermer.

"Hakikatnya ialah Angkatan Tentera Israel sewajarnya diberikan Hadiah Nobel Keamanan…. Hadiah Nobel Keamanan kerana melawan dengan kesabaran yang tidak boleh dibayangkan," katanya, seperti dipetik oleh akhbar itu.

Beliau kemudian menambah: "Suatu hari nanti apabila musuh-musuh Israel dikalahkan dan mereka yang sinis terdiam, orang akan menoleh ke belakang dan kagum bagaimana negara yang paling terancam di dunia ini tidak pernah hilang sabar dan sentiasa berpegang kepada nilai-nilainya."

Kenyataan Dermer itu dibuat menyusul kenyataan Menteri Luar Israel, Avigdor Liberman pada Ahad yang mengatakan tentera Israel adalah pasukan tentera "yang paling bertimbang rasa dan paling berani di dunia".

Serangan Israel yang masuk minggu ketiga itu sehingga ini membunuh hampir 600 orang penduduk Palestin, lebih 100 daripadanya kanak-kanak.

Israel attack masjid
Masjid yang dibom Israel beberapa hari lalu dalam serangan tanpa henti rejim Zionis itu ke atas Gaza. -AP Photo/Hatem Moussa

Agensi berita Ma'an di Gaza melaporkan lebih 50 buah masjid dimusnahkan atau rosak sejak serangan itu bermula. Masjid adalah antara bangunan yang dijadikan sasaran oleh tentera Israel. Hampir 500 buah kediaman musnah manakala 100,000 orang hilang tempat tinggal, lapor Pejabat Bantuan Kemanusiaan PBB di Geneva.

Mesir dan Amerika Syarikat sedang mengusahakan gencatan senjata bagi menamatkan keganasan dua minggu itu. Usul gencatan senjata itu bagaimanapun ditolak oleh Hamas yang mendesak tuntutannya supaya sekatan ke atas Gaza sejak Jun 2007 ditarik balik. Hamas juga mendesak ratusan tahanan warga Palestin di penjara Israel dibebaskan.