Skip to main content

Dunia

Tentera Laut Iran lepaskan tembakan amaran ke arah kapal pembinasa AS di Laut Oman

Sumber: US Indo-Pacific Command
Iran mendakwa, pasukan tentera laut AS mengganggu perdagangan maritim dan keselamatan di rantau itu. - Gambar US Indo-Pacific Command

ISTANBUL: Tentera Laut Iran melepaskan tembakan amaran menggunakan peluru berpandu dan dron ke arah kapal pembinasa Amerika Syarikat (AS) yang beroperasi di Laut Oman, sekali gus memaksa aset berkenaan berundur dari kawasan itu, menurut kenyataan Tentera Iran pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

Pejabat perhubungan awam tentera berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dijalankan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai gangguan AS di laut serta rampasan kapal komersial dan kapal tangki minyak milik Iran.

Menurut kenyataan itu, pasukan Tentera Laut Iran melepaskan tembakan amaran menggunakan peluru berpandu Qadir dan dron serangan Shahed Danesh ke arah kapal pemusnah DDG-103 dan DDG-87.

Pihak tentera mendakwa bahawa kapal-kapal berkenaan kemudiannya meninggalkan Laut Oman dan menuju ke arah Lautan Hindi.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi berkenaan, bersama-sama tindakan serupa dalam beberapa hari kebelakangan ini, turut memaksa aset tentera laut AS yang lain meninggalkan kawasan itu, termasuk kapal pembinasa yang beroperasi sebagai sebahagian daripada kumpulan tempur pengangkut pesawat USS George H.W. Bush dan kapal serangan amfibia Tripoli.

Iran mendakwa, pasukan tentera laut AS mengganggu perdagangan maritim dan keselamatan di rantau itu.

Pihak tentera berkata, kapal pembinasa yang menjadi sasaran itu berfungsi sebagai pusat perintah dan kawalan bagi apa yang disifatkannya sebagai aktiviti permusuhan AS terhadap perkapalan komersial Iran.

Pusat perintah yang menyelia operasi tentera laut Iran menyeru AS supaya menghentikan apa yang disifatkannya sebagai pencurian maritim dan tindakan bermusuhan di perairan wilayah terbabit.

Walaupun kapal-kapal AS telah bergerak melampaui jarak jangkauan peluru berpandu yang digunakan dalam operasi amaran berkenaan, kenyataan itu menegaskan bahawa tentera Iran boleh menggunakan senjata jarak lebih jauh jika perlu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement