DUNIA

Tentera Pakistan bunuh 108 pengganas selepas gagalkan serangan di Balochistan

Bernama 31/01/2026 | 22:40 MYT
Anggota keselamatan Pakistan memeriksa kawasan yang terjejas susulan serangan pengganas Baloch di Quetta, 31 Jan 2026. REUTERS
NEW DELHI: Pasukan keselamatan Pakistan membunuh 67 pengganas selepas berjaya menggagalkan serangan terancang di beberapa lokasi di wilayah Balochistan pada Sabtu.

Sekurang-kurangnya 10 tentera dan ramai orang awam turut terkorban dalam serangan oleh pengganas tajaan asing itu, lapor media Pakistan.

Mangsa awam yang terkorban termasuk lima ahli sebuah keluarga Baloch di Gwadar, termasuk tiga kanak-kanak.

Pasukan keselamatan masih meneruskan operasi mereka dan menggunakan pemantauan udara untuk memburu pengganas yang bertanggungjawab atas serangan di pelbagai tempat tersebut.

Kumpulan pemberontak menyerang sebuah van polis di Quetta dan menyasarkan pos pasukan separa tentera Kor Frontier di Nushki serta Dalbandin, menurut laporan media tempatan.

Pasukan keselamatan Pakistan telah membunuh seramai 108 pengganas dalam tempoh dua hari operasi membanteras pemberontakan.

Seramai 41 militan terbunuh di dua lokasi di Balochistan pada Jumaat, kata sayap media tentera, Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) dalam satu kenyataan awal.

Tiga puluh pengganas dibunuh di pinggir daerah Harnai manakala 10 lagi di daerah Panjgur apabila sebuah tempat persembunyian pengganas diserbu, menurut ISPR.

"Selain senjata dan peluru, wang hasil rompakan bank di Panjgur pada 15 Dis 2025 turut ditemukan daripada pengganas yang terbunuh itu," katanya.

-- BERNAMA

#Balochistan #serangan #Pakistan #pengganas