Tentera Somalia bunuh lebih 130 pengganas al-Shabaab

Sejak Julai tahun lalu, tentera Somalia, dengan sokongan Misi Sokongan dan Penstabilan Kesatuan Afrika di Somalia (AUSSOM) serta rakan antarabangsa lain, meningkatkan operasi menentang al-Shabaab. - Gambar fail Reuters
MOGADISHU (Somalia): Lebih 130 pengganas al-Shabaab terbunuh manakala beberapa yang lain cedera apabila Tentera Kebangsaan Somalia, dengan sokongan pasukan keselamatan tempatan, melancarkan satu operasi terhadap kumpulan itu di wilayah Lower Juba, menurut Kementerian Pertahanan pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Operasi keselamatan yang berlangsung lebih 24 jam itu turut berjaya menggagalkan serangan yang dilancarkan kumpulan berkenaan ke atas bandar Kudhaa.
"Operasi bersama ini menandakan kekalahan muktamad kepada musuh, mengakibatkan kerugian besar dengan lebih 130 pengganas terbunuh dan sejumlah yang lain cedera, susulan pertempuran langsung apabila pasukan nasional dengan berani menangkis serangan," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kenderaan ketenteraan dan senjata yang ditinggalkan oleh pengganas yang melarikan diri turut dirampas semasa operasi berkenaan.
"Keselamatan di Kudhaa dan kawasan sekitarnya kini berada sepenuhnya di bawah kawalan Tentera Kebangsaan Somalia, khususnya Pasukan Khas Danab dan Pasukan Keselamatan Jubbaland, yang kekal dalam keadaan berjaga-jaga penuh dan meneruskan operasi penstabilan bagi mencegah sebarang ancaman sisa," menurut kenyataan itu.
Kudhaa ialah sebuah bandar pulau kecil yang mempunyai kepentingan strategik di wilayah Lower Juba, terletak kira-kira 130 kilometer ke selatan bandar pesisir pantai Kismayo, ibu negeri pentadbiran Jubbaland.
Kumpulan pengganas yang bersekutu dengan al-Qaeda itu melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Somalia selama lebih 16 tahun, dengan kerap menyasarkan pasukan keselamatan, pegawai dan orang awam.
Sejak Julai tahun lalu, tentera Somalia, dengan sokongan Misi Sokongan dan Penstabilan Kesatuan Afrika di Somalia (AUSSOM) serta rakan antarabangsa lain, meningkatkan operasi menentang al-Shabaab.
Mandat misi AU itu diperbaharui oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember lalu untuk tempoh setahun lagi, menerusi resolusi yang disokong United Kingdom yang melanjutkan kebenarannya sehingga 31 Dis 2026.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


