DUNIA

Tentera Sudan, RSF setuju pelan awal gencatan senjata kemanusiaan - Penasihat AS

Bernama 04/11/2025 | 11:45 MYT
Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa. - Gambar/ Reuters
ISTANBUL: Penasihat kanan Amerika Syarikat (AS) bagi Hal Ehwal Arab dan Afrika Massad Boulos berkata usaha sedang dijalankan untuk mencapai gencatan senjata kemanusiaan di Sudan selepas tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) bersetuju secara prinsip terhadap pelan awal berkenaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Usaha sedang dijalankan untuk mencapai gencatan senjata kemanusiaan di Sudan selepas tentera Sudan dan pasukan RSF bersetuju secara prinsip terhadap pelan awal, menurut Penasihat Amerika Syarikat Massad Boulos.
  • Inisiatif itu selaras dengan rangka kerja yang dipersetujui oleh Kuad Antarabangsa di Washington pada September lepas untuk gencatan senjata selama tiga bulan di Sudan, diikuti dengan proses peralihan selama sembilan bulan.
  • RSF dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam di El-Fasher, menyebabkan keadaan kemanusiaan yang amat mendesak; Boulos menyeru tindakan segera untuk melindungi orang awam dan mengakhiri keganasan di Sudan.


"Kedua-dua pihak telah bersetuju secara prinsip dan setakat ini tiada bantahan awal daripada mana-mana pihak. Kami kini menumpukan kepada perincian pelaksanaannya," kata Boulos pada Isnin dalam kenyataan yang disiarkan oleh portal Sudan Tribune.

Beliau berkata inisiatif semasa itu, yang bertujuan mencapai persefahaman bersama bagi gencatan senjata menyeluruh serta fasa selepas gencatan di Sudan, adalah selaras dengan rangka kerja yang dipersetujui oleh Kumpulan Antarabangsa Kuad di Washington pada September lepas.

Pada 12 Sept, Kuad Antarabangsa yang dianggotai AS, Mesir, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyeru supaya diadakan gencatan senjata kemanusiaan selama tiga bulan di Sudan bagi membolehkan bantuan kecemasan dihantar ke semua kawasan sebagai langkah ke arah gencatan senjata kekal.

Jawatankuasa yang diketuai AS itu turut mencadangkan pelancaran proses peralihan selama sembilan bulan selepas gencatan kemanusiaan awal untuk menubuhkan kerajaan bebas yang dipimpin oleh awam di Sudan.

Boulos menjelaskan tiada rundingan langsung atau tidak langsung sedang dijalankan antara RSF dan tentera Sudan, namun komunikasi berasingan yang dikendalikan oleh AS sedang mengurus proses berkenaan.

Beliau menyifatkan situasi kemanusiaan di El-Fasher, ibu kota Darfur Utara, sebagai "amat mendesak dan menyedihkan", sambil menegaskan kecaman Washington terhadap kekejaman yang menyasarkan orang awam di bandar itu.

Pada 26 Okt, RSF menawan El-Fasher dan didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut organisasi tempatan dan antarabangsa, di tengah-tengah amaran bahawa serangan itu boleh mengukuhkan pembahagian wilayah Sudan.

Keutamaan kami kini ialah menangani krisis kemanusiaan dengan segera, kemudian mencapai keamanan berkekalan di Sudan serta memelihara perpaduannya," kata Boulos.

Dalam kenyataan di platform X pada Selasa, beliau sekali lagi mengecam "jenayah kejam terhadap orang awam di El-Fasher" dan menyeru tindakan segera diambil untuk melindungi orang awam serta menamatkan keganasan di Sudan.

Kenyataan terbaharunya itu dibuat selepas pertemuan dengan Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit, dan mereka membincangkan perkembangan terkini dan cabaran mendesak di rantau itu.

Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan RSF terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan oleh usaha pengantaraan serantau dan antarabangsa. Konflik itu telah meragut ribuan nyawa dan memaksa berjuta-juta penduduk berpindah.

-- BERNAMA


#konflik Sudan #RSF #angka korban #punca konflik Sudan