KABUL: Masalah ketiadaan gaji tidak menghalang sejumlah anggota Emiriah Islam Afghanistan (IEA) atau lebih dikenali sebagai tentera Taliban untuk berbakti memberikan kawalan keselamatan di negara itu.

Ahmadiah Khuber Ahmad Yar Khobab, 32, berkata beliau menyertai IEA tanpa memikirkan sangat perihal gaji yang tidak diterimanya buat masa ini.

Beliau yang berasal dari Kabul itu berkata kepada Bernama menerusi penterjemah bahasa, apa yang dilakukannya bersama tentera yang lain adalah satu perjuangan demi agama dan untuk menjaga keselamatan rakyat.

"Mengapa saya menyertainya sejak 2005 kerana Amerika Syarikat (AS) bertindak kejam semasa itu dengan menyerang negara ini, meletupkan masjid, membunuh rakyat kami yang tidak bersalah selain mencabul kehormatan wanita di sini.

"Namun kini ia sudah berubah dan kami sudah bebas dan sekarang mahu menjaga negara kami. Saya juga pernah dipenjarakan dua kali oleh AS sebelum dibebaskan," katanya kepada penulis yang menyertai rombongan Muslim Care Malaysia (MCM).

Penulis menemui Ahmadiah Khuber dan rakan-rakannya yang mengawal keadaan ketika MCM menyerahkan bantuan makanan di Pali Charkai dalam wilayah Kabul.

Selain itu, penulis turut berpeluang melalui jalan darat dari Taybad, di Iran ke Islam Qala, di Afghanistan merentasi sempadan kedua-dua negara itu dan kelihatan kelibat tentera Taliban mengawal keselamatan.

Namun, setibanya di Herat mahupun Kabul, kelibat mereka bukanlah seperti digembar-gemburkan mengawal setiap pelusuk bandar itu dan keadaan berbahaya.

Ketika bertemu mereka, ucapan salam diberi sebagai tanda hormat dan disambut dengan senyuman daripada semua tentera yang penulis temui.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tohmahan dilontarkan mengenai keburukan berlaku semasa kerajaan IEA mengambil alih, Ahmadiah Khuber berkata itu semua satu propaganda jahat.

"Kononnya kami tidak peduli hak pendidikan terhadap perempuan atau wanita, kesemua itu adalah tidak benar.

"Jika betul hak itu tidak diutamakan mengapa anak saya masih bersekolah seperti biasa? ..Kami tidak menafikan hak mereka dan negara ini sedang dalam fasa pemulihan untuk memberikan apa yang terbaik kepada rakyatnya," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati kanak-kanak menjalani persekolahan seperti biasa di Kabul dan di lain-lain tempat.

Raut wajah riang mereka jelas menampakkan seperti tiada apa yang berlaku biarpun media asing melaporkan sebaliknya mengenai negara ini.

Sementara itu, Hajimullah Mukmin, 40, berkata beliau juga tidak memikirkan perkara itu (gaji).

"Saya sudah menyertai tentera ini sejak 16 tahun lalu dan turut mempunyai pengalaman berjaya menembak tentera AS serta sekutunya," katanya.

-- BERNAMA