DUNIA
TERKINI HAJI 2025: 4,900 perjalanan tren, 2 juta jemaah dijangka guna metro sepanjang 7 hari ibadah
Dengan kapasiti 72,000 penumpang sejam sehala menerusi lebih 200 perjalanan, tren ini memudahkan pergerakan jemaah ke dan dari destinasi masing-masing. - FB Al Mashaaer al Mugaddassah Metro Project
RIYADH: Sebanyak 4,900 perjalanan tren dijangka dilakukan dalam tempoh tujuh hari di laluan Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Metro Line, melibatkan sehingga dua juta penumpang sepanjang musim haji tahun ini.
Metro berkapasiti tinggi yang turut dikenali sebagai Sacred Sites Train Line itu hanya beroperasi setahun sekali, khusus untuk mengangkut jemaah antara lokasi suci di Mekah seperti Mina, Arafah dan Muzdalifah.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik Arab Saudi, Saleh Al-Zuwaid, berkata, persiapan rapi merangkumi sektor udara, darat, laut dan logistik sedang giat dijalankan menjelang musim haji.
“Setakat ini, sebanyak 3,314 penerbangan dari 238 destinasi di 71 negara menerusi 62 syarikat penerbangan telah tiba di Arab Saudi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, jumlah perjalanan melalui Haramain High Speed Railway meningkat sebanyak 75 peratus berbanding musim Haji lalu.
Inisiatif baharu dikenali sebagai "Haji Tanpa Bagasi" juga diperkenalkan, membolehkan jemaah menaiki kereta api ke Mekah tanpa perlu membawa bagasi - yang dihantar berasingan untuk keselesaan mereka.
Untuk pengangkutan darat, lebih 25,000 bas telah disediakan dengan pemeriksaan keselamatan yang menyeluruh.
Teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) turut diguna pakai.
Kenderaan khas dilengkapi AI digunakan untuk mengimbas keselamatan jalan raya dari pelabuhan masuk ke tapak suci.
Hasilnya, sebanyak 7,400 kilometer jalan berjaya diselenggara tahun ini.
Jurucakap sektor komunikasi haji, Saad Al-Shanbari pula memaklumkan, liputan 4G dan 5G di Mekah, Madinah dan lokasi suci kini melebihi 99 peratus dengan peningkatan ketara dalam kelajuan internet.
“Sebanyak 10,500 titik akses Wi-Fi telah dipasang bagi memperkayakan pengalaman digital jemaah,” jelasnya.
Sistem kawalan orang ramai berasaskan AI serta rangkaian komunikasi khas turut dibangunkan bersama Aramco Digital bagi memastikan kelancaran operasi digital sepanjang musim haji.
Jurucakap kementerian menegaskan, komitmen kerajaan Arab Saudi dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dan menyeru jemaah agar mematuhi garis panduan rasmi demi keselamatan dan kelancaran ibadah.
Musim haji tahun ini akan bermula pada esok (4 Jun) dan berakhir pada Isnin (9 Jun) ini. - Agensi
#terkini haji 2025
#metro train
#Al-Mashaaer Al-Mugaddassah Metro Line
#jemaah haji
#Hari Arafah
#Sacred Sites Train Line