INTERNATIONAL

TERKINI HAJI 2025: Cuaca panas melampau, Arab Saudi arah khutbah dan solat Jumaat dipendekkan

Astro Awani 27/05/2025 | 15:00 MYT
Menurut Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, arahan itu sejajar dengan tanggungjawab dan sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran ibadah yang selesa dan selamat kepada para tetamu Allah. - Gambar Astro AWANI
MEKAH: Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais, mengarahkan semua imam dan khatib di kedua-dua masjid suci untuk memendekkan tempoh khutbah dan solat Jumaat sepanjang musim Haji 2025.

Arahan itu dikeluarkan sebagai tanda prihatin terhadap keadaan semasa yang dihadapi oleh jutaan jemaah, khususnya ketika cuaca panas melampau melanda kota Mekah dan Madinah.

Langkah itu diambil bagi meringankan beban fizikal dan menjaga keselamatan para jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Menurut Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, arahan itu sejajar dengan tanggungjawab dan sentiasa komited untuk menyediakan persekitaran ibadah yang selesa dan selamat kepada para tetamu Allah.

“Dengan keadaan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang sesak akibat ketibaan jemaah dari seluruh dunia, ditambah dengan suhu yang sangat tinggi, maka langkah pencegahan menjadi keutamaan.

“Ia penting untuk mengelak strok haba, keletihan melampau serta risiko kesihatan lain yang boleh menjejaskan jemaah,” jelas beliau.

“Berdasarkan prinsip Islam yang bersifat mudah, berperikemanusiaan, kami juga mengarahkan agar waktu antara azan dan iqamah untuk semua solat tidak melebihi 5 hingga 10 minit. Sementara itu, keseluruhan khutbah dan solat Jumaat pula tidak akan melebihi 15 minit,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa mimbar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mempunyai kedudukan istimewa dalam jiwa umat Islam.

Justeru, memendekkan khutbah bukan sahaja membantu para jemaah untuk melaksanakan tuntutan ibadah secara sah dan sempurna, malah memberi peluang untuk mereka menyerap intipati khutbah dengan lebih fokus tanpa terganggu oleh cuaca atau keletihan.

Beliau turut memetik firman Allah SWT: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam kebaikan dan ketakwaan” (Al-Ma’idah: 2), serta sabda Rasulullah SAW: “Apabila salah seorang daripada kamu mengimami solat untuk orang ramai, maka ringankanlah solat itu; kerana sesungguhnya antara mereka terdapat yang lemah, sakit dan warga emas” (Riwayat al-Bukhari).

Arahan ini mengambil kira realiti jemaah yang bersolat di kawasan mataf, tingkat atas dan perkarangan masjid yang terdedah kepada panas terik.

Langkah ini juga sejajar dengan maqasid syariah dan kaedah fiqh yang menekankan tentang langkah memudahkan umat Islam dalam beribadah, khususnya dalam keadaan luar biasa.



#Arab Saudi #cuaca panas #strok haba #warga emas