DUNIA
TERKINI HAJI 2025: Hari wukuf: Linangan air mata iringi ibadah haji warga Palestin
Mina al-Kahlut mengesat air mata apabila teringat kepada ahli keluarganya di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
MEKAH: Dalam suasana penuh emosi diiringi doa, jemaah haji dari Gaza menunaikan ibadah haji di Mekah minggu ini.
Namun, bayangan perang dan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga di tanah air menyelubungi ibadah rukun Islam kelima.
Bagi ramai rakyat Gaza, ibadah haji tahun ini bukan sekadar tuntutan agama, tetapi juga satu seruan untuk keamanan, ketika konflik bersenjata di wilayah yang dikepung itu masih berlarutan.
Di sebuah hotel di Mekah, sekumpulan jemaah dilihat hanya duduk diam, sekali sekala memeriksa telefon bimbit untuk mendapatkan berita terkini dari Gaza.
“Saya kehilangan sebahagian ahli keluarga sebagai syuhada, termasuk rakan dan sepupu,” kata Ziad Ebaid, salah seorang jemaah.
“Selama 25 tahun, saya dan isteri membina rumah yang indah... Tapi kami hanya sempat tinggal di situ selama sembilan bulan. Kini semuanya musnah, seperti seluruh Gaza," katanya seperti dilapor Reuters.
Seorang lagi jemaah, Mina al-Kahlut, seorang ibu dari Gaza tidak dapat menahan tangisan apabila menceritakan perpisahan dengan keluarganya.
“Suami dan anak-anak lelaki saya masih di Gaza. Saya datang bersama anak-anak perempuan saya, empat orang semuanya.
“Saya berdoa untuk anak-anak saya dan saya berdoa untuk seluruh Gaza agar perang ini berakhir," katanya.
Konflik di Gaza tercetus selepas serangan oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan 1,200 orang dan menawan 251 tebusan, menurut angka rasmi Israel.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan kempen ketenteraan yang telah meragut lebih 54,000 nyawa rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Usaha terbaharu untuk mencapai gencatan senjata dilaporkan masih menemui jalan buntu.
Israel menyatakan kesediaan menerima gencatan senjata sementara yang disokong Amerika Syarikat bagi membebaskan tebusan, manakala Hamas menuntut penamatan perang secara kekal dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.