[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
DUNIA

TERKINI HAJI 2025: Jemaah haji terima ubat dalam masa enam minit hasil teknologi dron

Wan Syamsul Amly 02/06/2025 | 06:35 MYT
Inisiatif teknologi dron selaras dengan komitmen Kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan semasa satu daripada perhimpunan tahunan terbesar dunia. - Gambar fail/Bernama
MEKAH: Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan Arab Saudi mencatat kejayaan besar dalam mempercepat penghantaran ubat ke lokasi haji, apabila tempoh penghantaran dikurangkan secara drastik daripada lebih satu jam kepada hanya enam minit menerusi penggunaan teknologi dron.


Ringkasan AI
  • Arab Saudi mempercepat penghantaran ubat dengan dron: Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan berjaya mengurangkan masa penghantaran ubat kepada jemaah haji daripada lebih satu jam kepada hanya enam minit.
  • Inovasi ini meningkatkan kecekapan rawatan perubatan: Teknologi dron memastikan bantuan perubatan tiba tepat pada waktunya, membantu pesakit menerima rawatan kritikal tanpa kelewatan semasa perhimpunan tahunan terbesar dunia.
  • Sistem data masa nyata memperkukuh operasi kecemasan: Maklumat daripada hospital, klinik, dan ambulans diintegrasikan melalui sistem elektronik, membolehkan keputusan perubatan dibuat dengan cepat dan tepat.


Inisiatif inovatif ini menandakan lonjakan penting dalam pengurusan logistik penjagaan kesihatan, sekali gus memastikan bantuan perubatan tiba tepat pada waktunya kepada jutaan jemaah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelantikan dan Rujukan Perubatan Saudi, Prof Nawfal Algeria, kemajuan yang dicapai itu juga dapat memastikan rawatan kritikal sampai kepada pesakit tanpa kelewatan.

"Perkembangan teknologi ini merupakan satu perubahan besar,” katanya kepada media Malaysia semasa lawatan ke pusat itu di Mina pada Ahad.

Dr Nawfal menambah inisiatif ini selaras dengan komitmen Kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan semasa satu daripada perhimpunan tahunan terbesar dunia.

Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan yang beroperasi di bawah Kementerian Kesihatan berfungsi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Pusat itu mengintegrasikan data masa nyata daripada pelbagai hospital, klinik dan perkhidmatan ambulans.

Semua maklumat disalurkan secara langsung melalui sistem elektronik seperti Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan Sistem Maklumat Hospital (HIS), yang membolehkan pasukan kesihatan membuat keputusan secara pantas dan berdasarkan data yang tepat.

Data oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir 49,000 jemaah menerima rawatan di pusat kesihatan utama, manakala jabatan kecemasan mengendalikan lebih 19,000 kes.

Klinik pesakit luar menerima hampir 1,000 pesakit, dan lebih 3,500 individu dimasukkan ke hospital, termasuk 1,730 ke unit rawatan rapi (ICU).





#terkini haji 2025 #Perkhidmatan kesihatan haji #Teknologi dron haji #berita luar negara