DUNIA

TERKINI HAJI 2025: Pesawat khas Kementerian Pertahanan Arab Saudi siap sedia bantu kes kecemasan jemaah

Agensi 03/06/2025 | 23:50 MYT
Setiap pesawat dilengkapi peralatan perubatan setanding dengan unit rawatan rapi (ICU) di hospital. - Gambar SPA
MEKAH: Kementerian Pertahanan Arab Saudi akan mengerahkan armada pesawat pemindahan perubatan udara bagi menangani kes-kes kecemasan semasa musim haji tahun ini yang bermula hari ini.
Langkah ini bertujuan menyediakan perkhidmatan ambulans canggih bagi membawa jemaah yang mengalami kecemasan kesihatan dari lokasi ibadah haji ke hospital di dalam dan luar kota Mekah.
Dianggarkan seramai 1.25 juta jemaah menyertai ibadah haji tahun ini dan antara 4 hingga 9 Jun, mereka akan melaksanakan ibadah di beberapa lokasi utama termasuk Mina, Muzdalifah dan Arafah.
Pasukan logistik dan perubatan kementerian itu akan mengawal selia operasi pemindahan udara dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), setiap pesawat dilengkapi peralatan perubatan setanding dengan unit rawatan rapi (ICU) di hospital.
Pesawat-pesawat ini akan ditempatkan berhampiran lokasi-lokasi suci dan bersedia memberi respons segera kepada kes kecemasan bagi memastikan keselamatan kesihatan para jemaah terjamin.
Langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif kesihatan lebih luas yang dilancarkan pihak berkuasa Arab Saudi dan beberapa syarikat sepanjang musim haji.
Pada Isnin, pihak berkuasa turut mengumumkan penggunaan dron untuk menghantar ubat-ubatan dan bekalan perubatan kepada pesakit semasa Haji, yang mampu mengurangkan masa penghantaran daripada satu jam kepada hanya enam minit.
Inisiatif itu meliputi lebih 136 lokasi dengan keupayaan membekalkan lebih 2,000 jenis ubat dan peralatan perubatan di tapak-tapak utama Haji. - Agensi
#terkini haji 2025 #pesawat khas #Kementerian Pertahanan Arab Saudi #kes kecemasan jemaah #Hari Arafah #Wukuf