[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
DUNIA

[TERKINI] Iran sedia hentikan serangan jika Israel berundur

Agensi 24/06/2025 | 02:10 MYT
Araghchi menegaskan, Iran tidak akan meneruskan tindak balas ketenteraan jika Israel menghentikan serangan ke atas wilayahnya selewat-lewatnya jam 4 pagi waktu tempatan. - Gambar fail Reuters
TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan, ketika ini belum ada sebarang persetujuan rasmi mengenai gencatan senjata antara Teheran dan Tel Aviv, namun menambah, Iran tidak akan meneruskan tindak balas ketenteraan jika Israel menghentikan serangan ke atas wilayahnya selewat-lewatnya jam 4 pagi waktu tempatan.
Menerusi satu kenyataan di platform X, Araghchi berkata: “Seperti yang telah ditegaskan berkali-kali oleh Iran: Israel yang melancarkan perang terhadap Iran, bukan sebaliknya.”
“Sehingga kini, TIADA sebarang 'perjanjian' rasmi berkaitan gencatan senjata atau penghentian operasi ketenteraan.”
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambah beliau, jika Israel menghentikan "pencerobohan haram" terhadap Iran sebelum atau pada jam 4 pagi waktu Tehran, Iran juga tidak berhasrat untuk meneruskan tindak balas ketenteraan selepas itu.
Bagaimanapun, menurut Araghchi, keputusan muktamad mengenai penamatan operasi ketenteraan Iran akan dibuat kemudian, bergantung kepada tindakan Israel dan perkembangan semasa di lapangan.
Ketika kenyataan ini dikeluarkan, waktu tempatan di Tehran telah melepasi jam 4:30 pagi.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai kanan White House sebelum ini memaklumkan kepada CNN bahawa Israel bersetuju dengan pelan gencatan senjata dengan syarat Iran menghentikan serangan ke atas wilayahnya.
Sumber yang sama menyatakan bahawa Iran telah bersetuju dengan syarat tersebut.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan, Israel dan Iran telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata dalam tempoh enam jam daripada sekarang - selepas kedua-dua negara menyelesaikan operasi terakhir mereka yang sedang berjalan. - Agensi
#konflik Israel-Iran #Israel serang Iran #kemudahan nuklear Iran #gencatan senjata