DUNIA
[TERKINI] Iran seru tindakan kolektif negara Islam, gesa konflik tidak merebak
Araqchi menegaskan Iran tidak mahu peperangan merebak tetapi bersedia berdepan sebarang ancaman terhadap kedaulatan negara itu. - Foto Reuters
TEHRAN: Menteri Luar Iran Abbas Araqchi menggesa negara-negara Islam supaya mengambil tindakan kolektif terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel yang semakin meningkat, sambil menegaskan hak Iran untuk mempertahankan diri dalam menghadapi pencerobohan ketenteraan baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Menteri Luar Iran gesa negara Islam bertindak secara kolektif terhadap pencerobohan Israel dan menegaskan hak Iran mempertahankan diri, termasuk dalam serangan peluru berpandu terkini ke atas sasaran ketenteraan dan ekonomi Israel.
- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) nyatakan sokongan, akan bekerjasama dengan PBB bagi mengekang ketidakstabilan serantau akibat konflik yang meningkat.
- Araqchi kecam sikap berat sebelah antarabangsa, sambil menegaskan Iran tidak mahu peperangan merebak tetapi bersedia berdepan sebarang ancaman terhadap kedaulatan negara.
Dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha pada Ahad, Araqchi mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mengutuk pencerobohan Israel ke atas Iran, menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta menimbulkan ancaman serius kepada kestabilan serantau dan global.
"Ketiadaan tindakan ini hanya menggalakkan lebih banyak pencerobohan dan jenayah," kata Araqchi sambil menegaskan kesediaan Iran untuk mempertahankan kedaulatannya.
Setiausaha agung OIC menyatakan kebimbangan yang mendalam terhadap peningkatan serangan ketenteraan oleh Israel dan memaklumkan bahawa pertubuhan itu akan bekerjasama dengan PBB untuk menggerakkan sokongan antarabangsa serta mengelakkan ketidakstabilan lanjut di rantau itu.
Dalam perkembangan berkaitan, ketika berucap di hadapan para duta, pegawai dan ketua perwakilan asing di Tehran pada Ahad, Araqchi menegaskan bahawa Iran tidak mahu peperangan merebak melangkaui sempadannya.
Beliau menekankan bahawa serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel adalah tindakan mempertahankan diri yang sah dan akan terhenti sekiranya Israel menghentikan serangannya.
"Teluk Parsi adalah sebuah rantau yang sangat sensitif dan kompleks, dan sebarang perkembangan ketenteraan di situ boleh melibatkan bukan sahaja seluruh rantau malah dunia," katanya.
Araqchi menyifatkan serangan udara Israel sejak Jumaat sebagai tindakan pencerobohan yang belum pernah berlaku, khususnya terhadap kemudahan nuklear Natanz dan kawasan kediaman di Tehran serta beberapa bandar lain di Iran.
"Israel tidak mengiktiraf sempadan," kata Araqchi sambil merujuk kepada pembunuhan profesor universiti, saintis nuklear dan komander tentera Iran.
Beliau turut mengkritik sikap tidak peduli dan reaksi berat sebelah masyarakat antarabangsa, khususnya beberapa negara Eropah terhadap pencerobohan Israel, dengan mengatakan bahawa sesetengahnya malah mengecam Iran.
Araqchi menjelaskan bahawa tindak balas awal Iran hanya menyasarkan lokasi ketenteraan, namun selepas Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan ekonomi Iran, Tehran bertindak balas dengan menyerang sasaran ekonomi Israel termasuk kilang penapisan.
Menteri luar itu turut merakamkan penghargaan kepada para diplomat yang hadir atas kecaman mereka terhadap tindakan Israel dan solidariti bersama Iran, serta menggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pencerobohan Israel.
-- BERNAMA