Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

[TERKINI] Israel siap sedia bebas ribuan tahanan Palestin

Seth Akmal 13/10/2025 | 07:15 MYT
Imej memaparkan keadaan terkini di penjara tentera di Ofer, Israel sebelum pembebasan banduan Palestin. - fotoREUTERS
JABATAN Penjara Israel dan pasukan keselamatan bersiap sedia untuk pembebasan tahanan Palestin pagi ini (waktu Israael) di Ketziot dan Ofer di Tebing Barat, selaras dengan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

Pembebasan tebusan Israel dijangka bermula jam 8 pagi waktu tempatan dari koridor Netzarim dan diteruskan jam 10 pagi di Khan Younis, Gaza.

Rakaman awal Reuters memaparkan beberapa kenderaan pertahanan, termasuk kenderaan berperisai, bas membawa tahanan, serta kenderaan pasukan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Hamas juga telah membebaskan tujuh daripada 20 tebusan Israel yang dijadualkan dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata.

Perjanjian ini dimediasi oleh Amerika Syarikat bersama Mesir, Qatar, dan Turki, merangkumi pembebasan tebusan oleh Hamas dan tahanan Palestin oleh Israel.

Menurut perjanjian, baki tebusan yang ditawan sejak 7 Oktober 2023 akan dibebaskan menjelang tengah hari, termasuk usaha mengenal pasti mayat tebusan yang belum ditemui.

Israel pula akan membebaskan 1,700 tahanan Palestin, termasuk 22 kanak-kanak, serta menyerahkan mayat 360 mangsa Palestin, sebagai sebahagian daripada komitmen dalam gencatan senjata.

Perjanjian ini disifatkan sebagai strategi terbesar ke arah menamatkan perang dua tahun antara Israel dan Hamas, selain membuka jalan kepada perdamaian kekal berdasarkan Pelan 20 Perkara yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Trump dilaporkan telah tiba di Israel, disambut oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi menyelia pelaksanaan awal pelan damai berkenaan.

Setakat ini, ribuan rakyat kelihatan berkumpul di Dataran Tebusan (Hostage Square) Tel Aviv untuk menunggu pembebasan banduan Israel.

Beliau dijadualkan menyertai perbincangan damai bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, di Sharm El-Sheikh, dihadiri pemimpin dari 20 negara.




#Pelan 20 Perkara Trump #Benyamin Netanyahu #Donald Trump #perbincangan damai untuk gencatan senjata