[TERKINI] Ketua Tentera Libya maut dalam nahas pesawat berhampiran Ankara
![[TERKINI] Ketua Tentera Libya maut dalam nahas pesawat berhampiran Ankara [TERKINI] Ketua Tentera Libya maut dalam nahas pesawat berhampiran Ankara](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/61766524776_TBMohammedAli.jpg)
Mohammed Ali Ahmed al-Haddad dikenali sebagai pegawai yang berintegriti, berpegang kepada undang-undang dan tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan bersenjata walaupun berpengaruh. - Gambar Reuters
ANKARA: Ketua Turus Angkatan Tentera Libya, Mohammed Ali Ahmed al-Haddad, bersama empat pegawai kanan Libya dilaporkan maut dalam nahas pesawat berhampiran ibu negara Turkiye, Ankara, pada Selasa.
Perdana Menteri Libya, Abdul Hamid Dbeibah mengesahkan, insiden itu sebagai satu “kemalangan tragis” ketika Mohammed Ali dan rombongan dalam perjalanan pulang selepas menyertai lawatan rasmi di Ankara.
“Tragedi besar ini adalah satu kehilangan besar buat negara, institusi ketenteraan dan seluruh rakyat. Kita telah kehilangan insan yang berkhidmat dengan penuh keikhlasan, dedikasi serta menjadi contoh disiplin, tanggungjawab dan komitmen nasional,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya, bangkai pesawat jenis Falcon 50 itu ditemui kira-kira dua kilometer dari Kampung Kesikkavak di daerah Haymana, 74 kilometer dari Ankara.
Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Esenboga pada jam 8.10 malam waktu tempatan (5.10 GMT) menuju ke Tripoli, namun, terputus hubunganm sekitar jam 8.52 malam.
Difahamkan, pesawat sempat membuat permintaan untuk pendaratan cemas ketika berada di ruang udara Haymana, tetapi tiada komunikasi selepas itu.
Kementerian Pertahanan Turkiye sebelum ini memaklumkan, Mohammed Ali berada di Ankara minggu ini untuk bertemu rakan sejawat Turkiye dan beberapa komander tentera.
Ankara diketahui mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Libya yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk sokongan ekonomi dan ketenteraan.
Sumber di Tripoli menyifatkan pemergian Mohammed Ali sebagai satu kehilangan besar buat institusi ketenteraan Libya.
Beliau dikenali sebagai pegawai yang berintegriti, berpegang kepada undang-undang dan tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan bersenjata walaupun berpengaruh.
Mohammed Ali yang berkhidmat dalam ketenteraan selama beberapa dekad turut memainkan peranan penting di pihak pemberontak ketika kebangkitan menentang bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


