[TERKINI] Najib Razak kekal di Penjara Kajang
DUNIA

[TERKINI] Konflik Thai-Kemboja: Pasukan AOT perlu masuk ke kawasan konflik - Pengarah IINTAS

Seth Akmal 22/12/2025 | 15:30 MYT
Seorang wanita Thailand memandang keluar dari khemahnya di sebuah pusat perlindungan sementara. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Pasukan pemerhati ASEAN (AOT) perlu dibenarkan masuk ke kawasan konflik bagi meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja, kata Dr. Phar Kim Beng.


Ringkasan AI
  • Dr. Phar Kim Beng menggesa pasukan pemerhati ASEAN (AOT) diberi kebenaran untuk masuk ke kawasan konflik antara Thailand dan Kemboja bagi meredakan ketegangan.
  • Kedua-dua pihak diminta memberi jaminan keselamatan kepada pasukan pemantau agar mereka dapat menjalankan tugas dengan selamat.
  • Kim Beng mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan Hun Sen dalam penyelesaian konflik ini, sambil menegaskan Malaysia berusaha mendekatkan kedua-dua pihak tanpa mencampuri urusan mereka.


Menurut Pengarah Institut Pengajian ASEAN dan Pengantarabangsaan (IINTAS) UIA itu, keberadaan fizikal pasukan AOT penting untuk menilai situasi di lapangan dengan lebih terperinci.

Tambahnya, kedua-dua pihak perlu memberi jaminan keselamatan kepada pasukan pemantau dalam melaksanakan tugas mereka.

“Salah satu cara paling berkesan ialah membenarkan ASEAN Observatory Team masuk ke kawasan itu. Ini satu misi yang mempunyai risiko tinggi,” katanya dalam program Fokus Minggu Depan hari ini.

Kim Beng menegaskan, serangan dan pengeboman berterusan antara kedua-dua pihak menyukarkan pasukan AOT untuk mengesahkan keadaan sebenar di lapangan, walaupun Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu telah ditandatangani.

“Apabila kedua-dua pihak mengebom atau melancarkan serangan serta-merta, proses verifikasi sebenar menjadi sangat sukar,” jelasnya.

Beliau juga mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan mantan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, yang dikatakan berpengaruh dalam konflik ini.

“Ada yang mengatakan Hun Sen merupakan dalang yang sebenar, untuk berhubung dengan PM kita, supaya boleh mencapai kata sepakat menghentikan tindak balas kedua-dua pihak,” katanya.

Pakar itu turut menolak dakwaan Malaysia mencampuri urusan Thailand dan Kemboja, sebaliknya menekankan negara kekal neutral.

“Malaysia tidak mencampuri urusan, sebaliknya berusaha mendekatkan kedua-dua pihak,” jelasnya.

Pada Isnin, Malaysia selaku pengerusi ASEAN mengadakan mesyuarat khas menteri-menteri luar untuk membincangkan situasi terkini.

Sejak konflik tercetus semula pada 7 Disember lalu, sekurang-kurangnya 80 nyawa dilaporkan terkorban.

Pertempuran antara Thailand dan Kemboja melibatkan roket dan artileri setiap hari sepanjang sempadan darat sejauh 817 km, dari kawasan hutan berhampiran Laos hingga wilayah pesisir Teluk Thailand.



#ASEAN #Kemboja #Thailand #Perjanjian Damai Kuala Lumpur