[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

[TERKINI] Perancis seru redakan ketegangan di Asia Barat susulan serangan Israel ke atas Iran - Macron

Bernama 13/06/2025 | 20:20 MYT
Macron berkata beliau telah memanggil mesyuarat Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara dan memberi jaminan bahawa semua langkah perlu akan diambil bagi melindungi warga Perancis dan perwakilan negara itu. - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata pada Jumaat bahawa Perancis bersedia bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk mengelakkan peningkatan ketegangan di Asia Barat susulan serangan tentera Israel ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Perancis bersedia bekerjasama dengan semua rakan kongsi untuk menggesa ketegangan di Timur Dekat dan Asia Barat diredakan," kata Macron dalam kenyataan di akaun X beliau.
Dalam suasana ketegangan yang semakin memuncak, Macron menggesa semua pihak agar "mengamalkan tahap kawalan diri maksimum" bagi mengekalkan kestabilan serantau.
Pemimpin Perancis itu berkata beliau telah memanggil mesyuarat Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara dan memberi jaminan bahawa semua langkah perlu akan diambil bagi melindungi warga Perancis dan perwakilan negara itu di rantau berkenaan.
"Semua langkah juga akan dilaksanakan untuk memastikan perlindungan wilayah negara dan rakyat kami," katanya.
Macron turut memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin utama serantau dan antarabangsa, termasuk Putera Mahkota Arab Saudi, Raja Jordan, Presiden Emiriah Arab Bersatu, Amir Qatar, Canselor Jerman, Perdana Menteri United Kingdom dan Presiden Amerika Syarikat.
"Keamanan dan keselamatan untuk semua di rantau ini mesti menjadi prinsip panduan kita," katanya.
Terdahulu pada Jumaat, Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran yang dilaporkan melibatkan 200 pesawat dengan sasaran ke atas kemudahan nuklear dan peluru berpandu jarak jauh. Beberapa pegawai kanan tentera dan ahli sains nuklear Iran dilaporkan terbunuh.
-- BERNAMA
#Emmanuel Macron #Perancis #Asia Barat #Israel #Iran