[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

[TERKINI] "Pertempuran bermula", pemimpin tertinggi Iran umum fasa baharu konflik

Astro Awani 17/06/2025 | 23:15 MYT
Khamenei mengisytiharkan bahawa “pertempuran sebenar telah bermula” dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen negara. - Foto X/Muhammed Arshad
TEHRAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mengisytiharkan bahawa “pertempuran sebenar telah bermula” dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen negara, menandakan permulaan fasa baharu dalam konflik bersenjata antara Iran dan Israel yang semakin memuncak.

Ringkasan AI
  • Ayatollah Khamenei isytihar -pertempuran sebenar telah bermula-, menandakan fasa baharu konflik Iran-Israel.
  • Iran lancar gelombang serangan peluru berpandu ke atas Israel, sebagai sebahagian daripada -Operasi Janji Sejati 3-, dan Israel membalas dengan menyerang tapak peluru berpandu dan kemudahan nuklear Iran.
  • Ketegangan antarabangsa meningkat, dengan PBB bersidang tergempar dan negara-negara menyeru kedua-dua pihak agar menahan diri.

Kenyataan itu dibuat selepas gelombang serangan peluru berpandu dari Iran ke atas Israel yang mencetuskan siren kecemasan di seluruh Tel Aviv dan beberapa bandar utama lain.
Ayatollah Khamenei menyatakan bahawa Iran tidak akan berundur dan akan “terus menyerang sehingga kezaliman dihentikan”.
“Musuh telah melampaui batas. Kini, rakyat Iran akan menunjukkan bahawa mereka tidak tunduk kepada ancaman atau kekerasan,” katanya sambil menyeru perpaduan nasional dan sokongan terhadap pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Menurut laporan media tempatan, serangan Iran yang terkini adalah sebahagian daripada “Operasi Janji Sejati 3”, yang menyasarkan infrastruktur ketenteraan dan perisikan Israel.
Dalam masa yang sama, Israel telah melancarkan serangan balas ke atas tapak peluru berpandu dan kemudahan nuklear di Iran.
Kenyataan Khamenei turut disambut dengan amaran keras dari Menteri Pertahanan Israel, yang menyifatkan tindakan Iran sebagai pelanggaran “garis merah” dan memberi amaran bahawa Tehran akan menanggung akibat yang berat.
Majlis Keselamatan PBB kini sedang bersidang dalam sesi tergempar, manakala komuniti antarabangsa menyeru agar kedua-dua pihak menahan diri bagi mengelakkan konflik serantau yang lebih luas.
#Ayatollah Ali Khamenei #pertempuran bermula #Iran #Israel