DUNIA

[TERKINI] Pesawat ATR 400 Indonesia bawa 11 individu hilang, terputus hubungan

Agensi 17/01/2026 | 09:26 MYT
Pesawat itu hilang di kawasan berbukit serta berhutan di sekitar Maros. - Gambar hiasan
SEBUAH pesawat jenis ATR 400 milik Indonesia Air Transport terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Pesawat ATR 400 milik Indonesia Air Transport terputus hubungan ketika dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar pada Sabtu, menyebabkan operasi pencarian dan penyelamatan bermula.
  • Pesawat tersebut membawa 11 individu termasuk lapan kru dan tiga penumpang, dan pasukan penyelamat telah dikerahkan untuk mencari petunjuk kedudukan pesawat yang dipercayai berada di kawasan berbukit dan berhutan di sekitar Maros.
  • Operasi pencarian dan penyelamatan masih diteruskan di kawasan yang dikenal pasti berdasarkan koordinat awal tanpa penemuan serpihan atau petunjuk kedudukan pesawat sehingga kini.


Pesawat berkenaan terputus komunikasi sekitar jam 1.17 tengah hari ketika melintasi kawasan perbatasan antara Kabupaten Maros dan Pangkajene Kepulauan (Pangkep), Sulawesi Selatan.

Menurut Ketua Operasi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Makassar, Hamsidar, pihaknya menerima laporan awal daripada AirNav Makassar sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan.

"Berdasarkan koordinat yang diserahkan, pesawat dipercayai berada di sekitar kawasan berbukit serta berhutan di sekitar Maros.

"Pesawat ATR 400 itu membawa seramai 11 individu, terdiri daripada lapan kru dan tiga penumpang. Maklumat tersebut diperoleh melalui laporan awal AirNav sebelum pasukan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan ke lokasi," katanya dilapor CNN Indonesia.

Susulan laporan kehilangan itu, Jabatan Pencarian dan Pertolongan (Kansar) Makassar telah mengerahkan 15 anggota pasukan penyelamat bagi memulakan operasi pencarian awal.

Beliau berkata, pasukan tersebut ditugaskan menilai keadaan di lokasi, mencari sebarang petunjuk kedudukan pesawat serta mengumpul maklumat situasi semasa.

Basarnas turut menurunkan beberapa aset operasi termasuk sebuah trak, kenderaan penyelamat dan sebuah dron untuk pemantauan udara.

Peralatan ini digunakan bagi memperluas liputan pencarian memandangkan topografi Leang-leang yang berbukit dan dipenuhi jaringan gua.

Hamsidar turut memaklumkan bahawa jumlah anggota operasi akan ditambah sekiranya diperlukan.

Menurutnya, beberapa unit pasukan SAR lain juga bersiap sedia untuk digerakkan pada fasa seterusnya bergantung kepada perkembangan pencarian.

Maklumat yang diterima daripada laporan lain turut menunjukkan bahawa kawasan Leang-leang merupakan titik terakhir pesawat dikesan sebelum hilang dari radar.

Sebagai langkah strategik, pasukan SAR dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi mempercepatkan operasi pencarian di kawasan tumpuan tersebut.

Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan fokus diberikan kepada kawasan yang dikenal pasti berdasarkan koordinat awal.

Tiada sebarang penemuan serpihan atau petunjuk kedudukan pesawat dilaporkan setakat ini, dan pihak berkuasa menyatakan operasi akan diteruskan sehingga maklumat baharu diterima daripada pasukan yang berada di lapangan.

#Pesawat Hilang #pesawat terhempas #Indonesia #nahas pesawat Indonesia