DUNIA
[TERKINI] PM Pakistan, Presiden Turkiye bincang pencerobohan Israel terhadap Iran
Shehbaz (kiri) menyatakan solidariti Pakistan bersama rakyat Iran dalam menghadapi pencerobohan Israel sementara Erdogan (kanan) menyifatkan serangan Israel ke atas Iran sebagai tidak boleh diterima.
NEW DELHI: Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, mengadakan perbualan telefon pada Sabtu bagi membincangkan situasi genting di rantau itu selepas tindakan agresif Israel terhadap Iran yang disifatkan sebagai tidak berasas.
Ringkasan AI
- Pemimpin Pakistan dan Turkiye kutuk tindakan Israel Perdana Menteri Pakistan dan Presiden Turkiye bersetuju bahawa serangan Israel terhadap Iran adalah tidak berasas dan mengancam keamanan serantau.
- Sokongan kepada Iran dan kecaman terhadap Barat Kedua-dua pemimpin menyatakan solidariti bersama Iran, mengecam pencerobohan Israel serta menegaskan hak Iran untuk mempertahankan diri mengikut Piagam PBB.
- Kesan kepada rundingan antarabangsa Rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat dibatalkan susulan tindakan Israel, manakala Iran memberi amaran akan bertindak lebih tegas jika serangan berterusan.
Shehbaz berkata beliau mengulangi komitmen Pakistan terhadap keamanan dan diplomasi pelbagai hala, termasuk menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menurut hantaran di platform X oleh Shehbaz, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa serangan Israel merupakan ancaman kepada keamanan serantau.
Pejabat Presiden Turkiye dalam satu kenyataan berkata, Erdogan menyifatkan serangan Israel ke atas Iran sebagai tidak boleh diterima dan menegaskan tindakan itu akan "menjejaskan usaha perdamaian berkaitan program nuklear Iran".
"Presiden Erdogan turut menyatakan bahawa sikap membisu terhadap penjajahan dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin telah mendorong Israel bertindak sejauh ini.
"Oleh itu, penting untuk tidak membiarkan Israel menenggelamkan isu genosid di Gaza melalui serangan ini," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga mengadakan perbualan berasingan dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada hari yang sama.
Shehbaz menyatakan solidariti Pakistan bersama rakyat Iran dalam menghadapi pencerobohan Israel dan mengecam pencabulan kedaulatan serta integriti wilayah Iran.
"Iran berhak mempertahankan diri berdasarkan Perkara 51 Piagam PBB," katanya.
Menurut laporan agensi berita rasmi Iran (IRNA), Pezeshkian menghargai pendirian Pakistan semasa taklimat Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat dan memberi amaran bahawa Iran akan memberi tindak balas lebih tegas sekiranya Israel meneruskan serangannya.
Presiden Iran itu juga mengkritik sikap berat sebelah Barat dan sokongan mereka terhadap rejim Israel dalam perbualannya dengan perdana menteri Pakistan.
Pusingan keenam rundingan antara pegawai Iran dan Amerika Syarikat yang dijadualkan pada Ahad telah dibatalkan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi dipetik IRNA sebagai berkata: "Meneruskan rundingan antara Iran dan AS ketika rejim Zionis terus melakukan kekejaman adalah sesuatu yang tidak wajar."
-- BERNAMA