Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

[TERKINI] Prabowo tiba di Mesir, sertai Sidang Kemuncak Keamanan Gaza

Farhan Hakimi 13/10/2025 | 10:56 MYT
Menerusi hantaran di X, Prabowo berkata kehadiran beliau mencerminkan peranan strategik Indonesia dalam usaha mendorong terwujudnya keamanan di rantau Asia Barat. - Sumber foto IG Prabowo
KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tiba Sharm El-Sheikh, Mesir pada Isnin (13 Oktober) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keamanan Gaza.

Menurut hantaran di media sosial rasminya, Prabowo dijangka menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai kekal yang selaras dengan gencatan senjata dengan Hamas.

"Kehadiran Presiden mencerminkan peranan strategik Indonesia dalam usaha mendorong terwujudnya keamanan di rantau Asia Barat.

"Antara lain, menegaskan komitmen Indonesia terhadap amanat Pembukaan Perlembagaan Undang-Undang Dasar (UUD) 1945 untuk turut serta dalam usaha mewujudkan keamanan sejagat," ujar hantaran itu.


Terdahulu, Setiausaha Negara Prasetyo Hadi berkata jemputan ke atas Prabowo untuk menghadiri sidang kemuncak tersebut diterima secara mengejut.

Bagaimanapun, menurut Prasetyo, Prabowo memutuskan untuk hadir sebagai langkah mengekalkan hubungan baik dan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Indonesia untuk mempromosikan keamanan di Asia Barat.

Walaupun butiran rundingan masih belum diperincikan, Prasetyo berkata, Jakarta bersedia memainkan peranan lebih besar sekiranya terdapat kemajuan.

Ini termasuk kemungkinan menghantar 20,000 anggota pasukan pengaman, satu cadangan yang pernah dikemukakan Prabowo dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu.



#Prabowo Subianto #Indonesia #Gaza #Mesir #Sharm el-Sheikh