[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

[TERKINI] Serangan Israel-Iran: PBB gesa redakan ketegangan, beri amaran terhadap kesan serantau

Bernama 14/06/2025 | 02:15 MYT
DICARLO: Kita mesti mengelak sebarang konflik yang semakin meluas, yang boleh membawa kesan besar kepada dunia. - Foto X UNDPPA
HAMILTON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran mengenai kesan serius di peringkat serantau dan global susulan tindakan saling berbalas serangan udara antara Israel dan Iran, sambil menggesa semua pihak menahan diri dan memperbaharui usaha diplomatik, lapor Anadolu Ajansi.

Ringkasan AI
  • PBB memberi amaran tentang risiko global susulan serangan udara antara Israel dan Iran, serta menyeru semua pihak menahan diri dan kembali kepada rundingan diplomatik.
  • Kemudahan nuklear Iran di Natanz mengalami kerosakan, dengan pencemaran radiologi dan kimia dikesan, walaupun paras radioaktif di luar tapak kekal normal.
  • Serangan saling membalas antara kedua-dua negara melibatkan sasaran strategik seperti kemudahan nuklear dan tentera, meningkatkan kebimbangan terhadap konflik serantau yang lebih luas.

"Kesan serangan ini sudah mula dirasai di seluruh rantau dengan negara jiran menutup ruang udara mereka dan meletakkan pasukan keselamatan dalam keadaan berjaga-jaga," kata Setiausaha Agung Rendah PBB bagi Hal Ehwal Politik dan Pembinaan Keamanan Rosemary DiCarlo pada sesi tergempar Majlis Keselamatan mengenai Iran.
DiCarlo menegaskan semula pendirian Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres yang "mengecam sebarang peningkatan ketenteraan di Timur Tengah" dan menegaskan "kewajipan negara anggota mengikut Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa untuk tidak menggunakan kekerasan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara."
"Kita mesti mengelak sebarang konflik yang semakin meluas, yang boleh membawa kesan besar kepada dunia," katanya.
Beliau berkata sebelum ketegangan itu memuncak, Iran dan Amerika Syarikat sedang bersedia menyambung semula rundingan di Oman dan menggalakkan kedua-dua pihak meneruskan usaha diplomatik.
"Penyelesaian damai melalui rundingan kekal sebagai kaedah terbaik untuk memastikan program nuklear Iran kekal secara eksklusif untuk tujuan damai," katanya.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Mariano Grossi turut memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan dan mengesahkan berlaku kerosakan pada sebahagian kemudahan pengayaan uranium di Natanz.
Beliau berkata bahagian atas tanah bagi loji perintis pengayaan bahan api, tempat Iran memperkaya uranium sehingga 60 peratus, telah "dimusnahkan."
Beliau berkata bahagian atas tanah loji pengayaan bahan api perintis, di mana Iran telah memperkaya uranium sehingga 60 peratus telah "dimusnahkan".
Grossi berkata paras radioaktif di luar kawasan tapak Natanz "kekal normal," namun mengesahkan terdapat "pencemaran radiologi dan kimia di dalam kemudahan itu."
Beliau menambah bahawa zarah alfa yang dikesan masih boleh dikendalikan dengan perlindungan radiasi yang sesuai.
"Serangan seperti ini membawa implikasi serius terhadap keselamatan dan perlindungan nuklear, serta keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa," katanya.
Menekankan bahawa "satu-satunya laluan yang mampan bagi Iran, Israel, seluruh rantau dan masyarakat antarabangsa adalah melalui dialog dan diplomasi untuk menjamin keamanan, kestabilan dan kerjasama," Grossi mengesahkan kesediaan IAEA untuk memudahkan dialog.
Israel memulakan operasi ketenteraannya awal pagi Jumaat, menyasarkan kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran serta membunuh beberapa pegawai tertinggi tentera dan saintis negara itu. Serangan berterusan sehingga Jumaat malam, dengan bandar seperti Tehran, Natanz, Tabriz dan Isfahan turut menjadi sasaran.
Iran kemudian melancarkan serangan balas yang dinamakan "Operation True Promise III" pada malam yang sama.
-- BERNAMA
#serangan Israel-Iran #PBB #Rosemary DiCarlo #sesi tergempar Majlis Keselamatan mengenai Iran