PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata melalui memorandum persefahaman yang dimeterai Amerika Syarikat (AS) dengan Iran sudah berakhir.
Beliau turut menegaskan tidak lagi berminat untuk meneruskan sebarang bentuk rundingan atau hubungan diplomatik dengan Tehran.
Trump membuat kenyataan itu ketika menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Ankara, Turkiye.
Menurut beliau, perjanjian sementara yang dimeterai sebelum ini tidak lagi mempunyai sebarang nilai selepas rundingan yang diadakan gagal mencapai kemajuan.
Perjanjian gencatan senjata sementara antara Washington dan Tehran, yang dimeterai menerusi pengantaraan Pakistan, pada asalnya bertujuan memberi tempoh selama 60 hari bagi membolehkan kedua-dua pihak merundingkan perjanjian damai yang lebih menyeluruh.
Bagaimanapun jelasnya, rundingan tidak langsung yang berlangsung di Qatar minggu lalu berakhir tanpa sebarang perkembangan positif ke arah penyelesaian konflik.
Pada masa sama, tentera AS melancarkan gelombang baharu serangan terhadap beberapa sasaran di Iran pada Selasa, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara.
“Bagi saya, saya fikir ia sudah berakhir. Saya tidak mahu berurusan dengan mereka,” kata Trump.
Beliau turut melontarkan kritikan keras terhadap kepimpinan Iran dengan menyifatkan mereka sebagai golongan yang “sakit”, sambil mendakwa usaha berunding dengan Tehran hanyalah membuang masa.
Dalam perkembangan berkaitan, AS turut membatalkan kebenaran Iran menjual minyak mentah selepas tiga kapal tangki didakwa diserang di Selat Hormuz.
Di bawah perjanjian sementara AS-Iran, Jabatan Perbendaharaan AS pada 22 Jun lalu mengeluarkan lesen am yang membenarkan penjualan minyak mentah serta produk petroleum dan petrokimia keluaran Iran sehingga 21 Ogos.
Bagaimanapun, selepas lesen itu dibatalkan pada Selasa, Washington menetapkan sehingga 17 Julai sebagai tarikh akhir untuk Iran menamatkan semua urus niaga yang masih berjalan di bawah lesen berkenaan.