DUNIA
Trump umum Netanyahu setuju laksana gencatan senjata di Gaza

Presiden Trump (kiri) menyambut kedatangan Perdana Menteri Netanyahu ke White House dan mengumumkan Israel setuju menyokong pelan damai Gaza tajaan Washington yang bertujuan menamatkan perang hampir dua tahun di wilayah berkenaan. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersetuju untuk menyokong pelan damai Gaza tajaan Washington yang bertujuan menamatkan perang hampir dua tahun di wilayah berkenaan.
Dalam sidang media bersama di White House, di sini, pada Isnin, Trump berkata, kedua-dua mereka “amat hampir” mencapai perjanjian damai, sambil menyatakan harapan agar Hamas turut menerima cadangan tersebut.
Pelan 20 perkara itu merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan yang ditahan Hamas sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin, pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza, pelucutan senjata Hamas serta pembentukan kerajaan peralihan yang diketuai sebuah badan antarabangsa.
“Saya ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri Netanyahu kerana bersetuju dengan pelan ini dan percaya bahawa dengan bekerjasama, kita mampu menamatkan kematian serta kehancuran yang telah berlarutan selama bertahun-tahun, malah berabad-abad,” kata Trump.Lawatan keempat ke White House
Lawatan itu merupakan kali keempat Netanyahu ke White House sejak Trump kembali menerajui pentadbiran pada Januari lalu.
Kehadirannya juga dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan dengan Washington selepas beberapa negara Barat secara rasmi mengiktiraf kewujudan negara Palestin minggu lalu, sekali gus menentang pendirian AS dan Israel.
Trump, yang lantang mengkritik langkah pengiktirafan tersebut dilaporkan terus mendesak Netanyahu menyokong pelan damai berkenaan meskipun terdapat kebimbangan Israel terhadap beberapa klausa.
Dalam perkembangan sama, pasukan pejuang Palestin, Hamas pula belum memberikan sebarang maklum balas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan cadangan itu.
Serangan darat Israel berterusan
Sidang media tersebut berlangsung ketika kereta kebal Israel mara lebih jauh ke Gaza City pada Isnin, dalam salah satu operasi terbesar perang setakat ini.
Netanyahu menegaskan tekadnya untuk memusnahkan Hamas di kubu terakhir mereka, meskipun serangan berterusan itu meninggalkan kemusnahan besar di Gaza serta mencetuskan krisis kemanusiaan yang serius.
Pembangkang Israel sokong pelan damai
Sementara itu, pemimpin pembangkang Israel, Benny Gantz dan Yair Lapid menyatakan sokongan terhadap pelan damai tersebut.
Gantz menerusi hantaran di platform X menyifatkan ia sebagai peluang membebaskan tebusan dan pada masa sama menjamin keselamatan Israel.
Lapid yang mengetuai parti Yesh Atid dengan 24 kerusi di Knesset, turut menyokong inisiatif tajaan AS itu menerusi kenyataan di platform sama. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami