SAN DIEGO: Lyn Jutronich sedang terapung ambil berehat sebentar di permukaan laut pada suatu pagi apabila sesuatu melanggar tubuhnya dengan hentakan kuat.

Jutronich, 50, berkata ketika impak pertama itu dia sudahpun mengetahui bahawa itu angkara ikan jerung, lapor AP.

Wanita itu memberikan temu bual pertamanya dari katil hospital, tempat dia menerima rawatan, sejak insiden kakinya dibaham jerung pada Jumaat sewaktu di pesisiran Laut Pasifik di Del Mar, utara San Diego.

“Saya rasakan hentakan yang sangat kuat. Saya tidak tahu bagaimana untuk menyatakannya. Impak itu di antara dua kaki saya dan telah menolak saya... sangat sakit, ia menolak saya hingga terlambung keluar dari permukaan air.

"Saya dapat lihat kaki saya digigit, tak pasti jika saya sempat melihat sewaktu ia mula membaham, atau saya terlihat sewaktu ia sudah membaham kaki saya, namun saya pasti melihat mulutnya," imbas Jutronich kepada berita KGTV.

- AP

Jutronich berkata, dalam keadaan cemas itu, dia sedaya upaya cuba menggoncangkan kakinya - seperti aksi mahu 'melepaskan kaki dari gigitan anjing'. Katanya, jerung itu akhirnya melepaskannya.

Seorang kawannya mengakui melihat detik Jutronich terlambung dari permukaan air, dan kemudian ternampak sirip atas jerung itu. Dia kemudian berusaha untuk membantu Jutronich kembali ke garis pantai untuk mendapat rawatan kecemasan awal oleh pengawal keselamatan air dan pasukan kecemasan sebelum menggegaskannya ke hospital.

Di hospital, Jutronich menerima rawatan untuk kecederaan tusukan (gigitan jerung) dan lecetan pada bahagian atas paha kanannya.

Jerung itu dipercayai dari jenis jerung putih namun masih bukan yang dewasa, namun pengesahan rasmi masih dinantikan dari saintis. Jerung putih juvenil biasanya berenang di kawaan pesisiran pantai Del Mar.

Jutronich memberitahu wartawan, bahawa dia masih cuba menghadam kejadian yang menimpanya itu.