LOS ANGELES: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, beliau belum lagi membuat keputusan untuk membuat lawatan rasmi ke Arab Saudi, walaupun selepas seminggu menyatakan kemungkinan tentang hal itu.

Reuters yang memetik sumber menyatakan, Biden ada merancang untuk mengunjungi Arab Saudi, dalam rangka lawatan ke Eropah dan Israel pada penghujung Jun.

White House berkata, Presiden AS itu merasakan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman seperti ‘dipinggirkan’ atas kaitannya dalam kes pembunuhan seteru politiknya, wartawan Jamal Khashoggi, di Turki pada tahun 2018.

Kerajaan Arab Saudi telah menafikan sebarang keterlibatan Putera Mahkotanya dalam kes berkenaan.

Selanjutnya ketika ditanya wartawan ketika di Albuquerque, New Mexico, jika Biden akan memanfaatkan kunjungan ke Asia Barat bagi mecapai perjanjian dalam memperbaiki hubungan Arab Saudi dan Israel, Biden menjawab: “Kita tengok dulu.”

Sebarang kemungkinan lawatan ke Arab Saudi dijangka menyasarkan agenda memulihkan hubungan dengan negara itu, dan pada masa sama Biden sedang mencari penyelesaian menurunkan harga minyak di AS.

Pegawai rasmi White House pada Jumaat berkata, AS tidak akan terlepas pandang perkara dan peristiwa yang terjadi sebelum kepresidenan Biden, namun yang lebih penting untuk dilaras semula adalah hubungan dengan Arab Saudi, dan bukannya lebih memburukkan situasi.

White House juga mengakui peranan strategik Arab Saudi sebagai rakan AS selama lapan dekad.