DUNIA
Tesla kalah saman berkaitan kemalangan maut libatkan alat pandu automatik

Keputusan mahkamah yang pertama seumpamanya itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan teknologi pemanduan kendiri. - AP
SACRAMENTO: Sekumpulan juri di Miami pada Jumaat mendapati sistem alat pandu automatik Tesla bertanggungjawab dalam satu kemalangan maut pada 2019, lapor Xinhua.
Keputusan mahkamah yang pertama seumpamanya itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan teknologi pemanduan kendiri dan berpotensi mencetuskan gelombang saman serupa terhadap pengeluar kenderaan di seluruh dunia.
Dokumen mahkamah menunjukkan Tesla diarahkan membayar ganti rugi berjumlah AS$242.6 juta, termasuk AS$42.6 juta bagi kesakitan dan penderitaan mangsa serta AS$200 juta sebagai ganti rugi punitif.
Kejadian berlaku di Florida apabila kenderaan Tesla dipandu George McGee merempuh sebuah kereta, mengakibatkan kematian Naibel Benavides Leon, 22, dan mencederakan teman lelakinya, Dillon Angulo.Walaupun McGee mengakui terganggu kerana menggunakan telefon bimbit, juri memutuskan Tesla turut bersalah sebanyak 33 peratus kerana membenarkan sistem alat pandu automatik digunakan di jalan yang tidak sesuai tanpa perlindungan atau amaran mencukupi.
Tesla berkata dalam satu kenyataan:"Keputusan hari ini adalah tidak tepat dan hanya menjejaskan usaha keselamatan automotif serta menggugat pembangunan teknologi penyelamat nyawa oleh Tesla dan seluruh industri."
Tesla memaklumkan akan mengemukakan rayuan.
Sejak sistem alat pandu automatik dilancarkan pada 2015, Tesla semakin berdepan penelitian rapi terhadap ciri pemanduan itu.
Pengawal selia di Amerika Syarikat telah menjalankan beberapa siasatan, termasuk siasatan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan (NHTSA) pada Oktober 2024 terhadap Sistem Pemanduan Kendiri Sepenuhnya Tesla selepas empat kemalangan dalam keadaan penglihatan rendah, termasuk satu kematian melibatkan pejalan kaki, menurut dokumen agensi.
Satu lagi siasatan pada April 2024 melibatkan analisis terhadap 467 kemalangan alat pemanduan automatik yang mengakibatkan 54 kecederaan, membawa kepada penarikan balik lebih dua juta kenderaan untuk penambahbaikan amaran kepada pemandu.
Pada Januari 2025, pihak berkuasa turut membuka siasatan terhadap 2.6 juta kereta Tesla berkaitan ciri pemanduan jauh susulan empat kemalangan dilaporkan.
Sementara itu, Jabatan Kenderaan Bermotor California baru-baru ini mendakwa Tesla melakukan iklan mengelirukan dengan menggunakan istilah seperti "alat pandu automatik " dan "Pemanduan Kendiri Sepenuhnya ." Agensi itu mahu lesen jualan Tesla di negeri berkenaan - pasaran terbesar Tesla di AS - digantung sekurang-kurangnya 30 hari serta mencadangkan amaran pengguna dan pampasan.
Menurut media tempatan, penganalisis undang-undang menyifatkan keputusan juri pada Jumaat sebagai titik perubahan utama - iaitu sabitan juri pertama terhadap Tesla dalam kes kematian melibatkan pihak ketiga.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami