DUNIA

Thailand 2025: Krisis menguji tadbir urus menjelang pilihan raya

Bernama 19/12/2025 | 01:30 MYT
Cabaran Thailand semakin meningkat pada November apabila banjir besar melanda wilayah utara, timur laut dan selatan, meragut lebih 160 nyawa. - Foto fail/REUTERS
BANGKOK: Daripada ketegangan sempadan dan peralihan politik kepada bencana alam serta ekonomi yang rapuh, tahun 2025 di Thailand menyaksikan rentetan krisis yang menguji tadbir urus, ketahanan institusi dan keupayaan pengurusan krisis negara itu.

Tahun ini bermula dengan optimisme yang berhati-hati terhadap pembaharuan tadbir urus dan ekonomi, namun dikejutkan pada 28 Mac apabila gempa bumi kuat melanda negara jiran Myanmar, dengan gegaran dirasai sehingga ke Bangkok.

Gempa itu mengakibatkan runtuhan tapak pembinaan di ibu pejabat baharu Pejabat Audit Negara di daerah Chatuchak, Bangkok mengorbankan lebih 90 nyawa.

Tragedi itu mendorong semakan menyeluruh terhadap piawaian keselamatan bangunan dan kesiapsiagaan bencana di peringkat nasional, sekali gus menonjolkan pendedahan Thailand kepada risiko seismik dan cabaran keselamatan bandar yang lebih luas.

Momentum ekonomi kekal perlahan sepanjang tahun, dibebani eksport yang lemah, penggunaan domestik yang sederhana serta ketidaktentuan luaran yang berterusan.

Sebagai tindak balas, kerajaan melaksanakan langkah fiskal termasuk skim pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menyokong pertumbuhan dan menstabilkan keyakinan.

Ketika tekanan domestik meningkat, Thailand turut berdepan ketegangan sempadan dengan negara jiran Kemboja pada 28 Mei, sebelum pertempuran tercetus pada 24 Julai, sekali gus meningkatkan kebimbangan serantau dan menambah tekanan terhadap persekitaran politik serta keselamatan.

Thailand dan Kemboja kemudian bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 28 Julai.

Usaha meredakan ketegangan memuncak pada Oktober dengan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur bagi memulihkan kestabilan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.

Bagaimanapun, ketenangan rapuh itu sukar dipertahankan. Thailand menggantung penyertaannya dalam Perjanjian Damai berkenaan pada November selepas beberapa anggota tenteranya cedera akibat periuk api di sepanjang sempadan.

Ketegangan sempadan kembali memuncak bermula 7 Dis, dengan laporan pertukaran tembakan ketenteraan dan serangan udara yang mengorbankan puluhan orang melibatkan kedua-dua pihak, menurut laporan media.

Usaha diplomatik untuk mengelakkan peningkatan lanjut terus dijalankan, termasuk mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Dis, yang menurut Anwar bertujuan meredakan ketegangan dan menstabilkan keadaan di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.

Cabaran Thailand semakin meningkat pada November apabila banjir besar melanda wilayah utara, timur laut dan selatan, meragut lebih 160 nyawa, menjejaskan jutaan isi rumah serta mengganggu rangkaian pengangkutan, di samping memberi kesan besar kepada sektor pertanian dan perniagaan kecil.

Di selatan Thailand, banjir yang melanda Hat Yai, Songkhla dan kawasan sekitarnya menyebabkan jalan raya serta hotel ditenggelami air, sekali gus memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan pada musim puncak.

Banjir berkenaan menonjolkan kesan risiko berkaitan iklim yang semakin meningkat, menekan keupayaan tindak balas bencana dan menjejaskan sasaran kerajaan untuk mencatatkan 39 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada 2025, sekali gus membebankan pemulihan ekonomi.

Di tengah-tengah tekanan ini, landskap politik Thailand turut berubah secara mendadak pada 29 Ogos apabila Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Paetongtarn Shinawatra daripada jawatan atas pelanggaran etika berkaitan pengendaliannya terhadap pertikaian sempadan dengan Kemboja. Anutin kemudiannya dilantik sebagai perdana menteri ke-32 negara itu.

Dalam tempoh tiga bulan pertama memegang jawatan, pemimpin Parti Bhumjaithai itu mengumumkan pembubaran parlimen, membuka laluan kepada pilihan raya umum.

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menetapkan 8 Feb 2026 sebagai hari pengundian bagi Ahli Dewan Perwakilan, dengan 1 Feb ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Thailand turut melalui tempoh berkabung negara pada 24 Okt susulan kemangkatan Ratu Sirikit, Bonda Ratu Thailand pada usia 93 tahun, dengan kerajaan mengisytiharkan tempoh berkabung selama setahun bagi penjawat awam.

Selepas tahun yang bergolak, usaha memulihkan keyakinan pelabur dan pelancong, membangunkan semula komuniti terjejas banjir serta mencegah peningkatan ketegangan sempadan akan menguji keupayaan kerajaan seterusnya untuk mentadbir secara berkesan.

Ketika Thailand melangkah ke tahun 2026, keputusan pilihan raya umum akan menjadi penentu utama dalam membentuk kestabilan politik dan hala tuju ekonomi negara itu.

-- BERNAMA





#krisis #pilihan raya #Thailand #banjir